MIRI: Lebih 2,000 orang dijangka membanjiri pekan Long Lama pada hujung minggu ini (30 November dan 1 Disember) untuk menghadiri Festival Budaya Orang Asal Lembangan Baram (BBiC) yang julung kali diadakan di sini.
Pegawai Daerah Long Lama Ezra Uda berkata ini adalah kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menganjurkan acara tersebut.
“Banyak acara kebudayaan serta perlumbaan perahu panjang yang menjadi antara acara kemuncak pada festival itu nanti,” katanya kepada Utusan Borneo di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat empat kategori dalam acara lumba bot panjang iaitu kategori 10 pekayuh lelaki dan wanita, kategori 15 pekayuh lelaki dan wanita, kategori 20 pekayuh lelaki dan wanita serta kategori tanpa had 'Lakin Telang Usan'.
Ezra berkata, festival berlangsung dua hari itu juga mempamerkan kekayaan budaya masyarakat orang asal atau penduduk peribumi di Baram.
"Satu lagi acara kemuncak festival itu ialah malam kebudayaan dengan mengadakan tarian etnik, pertandingan kecantikan etnik serta persembahan artis tempatan seperti penyanyi Rosiana Urai dan Jolly Jengan," jelasnya.
Selain itu, Ezra memberitahu turut diadakan ialah permainan rakyat merangkumi pertandingan tarik tali dan memanjat galah berminyak.
"Secara asasnya, festival tersebut hampir sama dengan Regata Baram tetapi objektif utamanya adalah untuk mempromosikan warisan budaya kita yang kaya.
"Kami berharap festival ini nanti dapat menarik ramai pelancong dan pengunjung ke Long Lama pada hujung minggu akan datang," katanya.
Ezra berkata, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau dijangka merasmikan pembukaan festival tersebut pada 30 November ini.