News

 

Seramai 20,000 hingga 30,000 kaum Kayan kini menetap di Miri: Dennis

Posted on 16 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Dianggarkan seramai 20,000 hingga 30,000 penduduk kaum Kayan yang berasal dari Ulu Baram kini menetap di bandar raya Miri.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Dato Dennis Ngau ketika merasmikan Festival Kebudayaan Kayan (KCF) di Permy Mall di sini, malam Jumaat.

"Walaupun kita kecil dari segi jumlah, tetapi kita juga sebahagian besar daripada rakyat Miri bersama rakan-rakan kita dari bangsa Orang Ulu lain yang sudah menjadikan Miri sebagai tempat kita tinggal," ujarnya. 

Dennis berkata, jumlah tersebut telah meningkat sejak beberapa tahun lepas.

Menurutnya, survei untuk mengetahui jumlah penduduk Kayan di sini telah dilakukan tetapi ramai mendakwa tidak mengetahui tentangnya. 

Berdasarkan respons katanya, terdapat 6,000 hingga 7,000 masyarakat Kayan menetap di Miri. 

"Itu beberapa tahun lepas. Itu mungkin tidak berapa tepat, sebab ramai tidak tahu tentang survei itu.

"Mungkin ketika itu saya berani mengatakan 10,000 hingga 15,000 orang Kayan di Miri. Hari ini, kemungkinan kita ada 20,000 hingga 30,000 daripada 400,000 penduduk Miri," jelasnya. 

Dennis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan mengingatkan kepada mereka yang telah berhijrah ke bandar agar tidak melupakan kampung asal. 

Beliau menasihatkan mereka agar balik ke kampung sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun membawa bersama ahli keluarga. 

"Biarlah kita terus mengingatkan orang muda tentang asal usul kita," katanya. 

Tentang PKS, Dennis berkata sekarang terdapat cawangan Miri, Marudi, Kuching, Bintulu, Sungai Asap, Belaga dan Long Naah. 

Menurutnya, PKS juga merancang untuk menubuhkan cawangan di Sibu dan Long Lama pada tahun ini atau tahun hadapan. 

Beliau turut berharap agar persatuan ditubuhkan di peringkat kampung.

Dengan penyertaan aktif penduduk dalam persatuan akan membantu mereka dari segi ekonomi, jelasnya.

Dennis turut mengumumkan peruntukan RM30,000 daripada Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan RM20,000 daripada beliau sendiri untuk penganjuran festival itu.

Tentang bangunan Pusat Budaya Orang Ulu dan Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM), Dennis berkata majlis praperasmian akan diadakan pada 6 Disember dengan penganjuran majlis pra-Krismas. 

Ia akan digunakan bersama sembilan kaum Orang Ulu bawah FORUM iaitu Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Berawan, Bisaya, Saban, Lakiput dan Lunbawang.