KUCHING: Istana Budaya bakal menggegarkan ibu negeri Sarawak dengan membawa sebuah persembahan istimewa Program Jangkauan WarisanKU Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia yang dikenali sebagai OTM ON THE STREET @ KUCHING WATERFRONT.
Program itu, menurut satu kenyataan, merupakan kolaboratif istimewa Istana Budaya bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan memperkenalkan Program Jangkauan WarisanKU yang khususnya 'KU' membawa makna Kuching Utara.
Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman selaku penganjur bersama serta Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar, telah hadir menyerikan dan memeriahkan suasana.
Turut hadir tetamu kehormat Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman yang mana UNIMAS adalah rakan strategik Istana Budaya bersama-sama menjayakan persembahan tersebut.
OTM ON THE STREET @ KUCHING WATERFRONT merupakan siri ketiga selepas OTM ON THE STREET @ PAVILION KUALA LUMPUR dan OTM ON THE STREET@BANDAR HILIR MELAKA yang bertujuan membawa fenomena persembahan orkestra jalanan menghangatkan pusat tarikan pelancong.
Program itu tambahnya lagi, mengekalkan konsep yang sama dengan memberi peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk merasai nilai seni muzik tradisional Malaysia dengan lebih dekat.
Tiada caj bayaran masuk dikenakan dan diadakan di Godown Amphitheatre Kuching Waterfront pada 10 November 2024 jam 8 malam lalu.
Seramai 23 pemuzik daripada OTM terlibat termasuk alat-alat muzik tradisional Malaysia yang dimainkan seperti sape, caklempong, jido, keromong dan darbuka.
Sebanyak 15 lagu dimainkan serta diserikan lontaran suara nyanyian Dhiya Suhaili, Alexander Peter Chelum, Rojer Kajol, Gabriel dan Razanah.
Antara lagu-lagu yang disajikan kepada pengunjung adalah Ketipang Payung, Tekayo-kayo, Medley Puteri Santubong dan Gunung Kinabalu, Anang Mangah, Joget Wan Lebor dan Joget 106 yang dimainkan sebagai penutup persembahan.
OTM ON THE STREET@KUCHING WATERFRONT ini juga merupakan sebuah teaser persembahan orkestra bagi persediaan acara gilang-gemilang yang bakal menyaksikan kerjasama Istana Budaya dan UNIMAS melalui Konsert Orkestra.
Tradisional Malaysia Istana Budaya-UNIMAS sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS 2024 akan diadakan di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS pada 12 November 2024 (Selasa) jam 8 malam.
Penyanyi-penyanyi ternama seperti Dato Jamal Abdillah, Wany Hasrita, Roxy, Rojer Kajol, Dhiya Suhaili dan Alexander Peter Chelum bakal menemui peminat di Sarawak khususnya warga UNIMAS dengan harga tiket konsert serendah RM15, RM30 dan RM50.
Kesemua hasil kutipan tiket akan didermakan sepenuhnya kepada Tabung Endowmen (Pembangunan) dan wakaf UNIMAS.
Pembelian tiket hanya boleh didapati di https://eticket2u.ia.unimas.my .
Untuk maklumat lebih lanjut, orang awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya melalui e-mel info@istanabudaya.gov.my atau di talian 03-4026 5555.