News

 

RM1.72b untuk liputan penuh utiliti, telekomunikasi

Posted on 11 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan terus memastikan liputan penuh untuk perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi yang boleh dipercayai, mampan dan berpatutan terutama di kawasan luar bandar Sarawak dengan peruntukan sejumlah RM1.72 bilion.

Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi (gambar) berkata, peruntukan ini menunjukkan komitmen kuat kerajaan negeri dalam meningkatkan perkhidmatan penting bagi semua rakyat Sarawak.

“Sehubungan itu, kementerian saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.23 bilion untuk air dan elektrik dan RM0.49 bilion untuk perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 yang dibentangkan oleh Abang Johari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Julaihi berkata, belanjawan itu juga mencerminkan fokus Sarawak yang tidak berbelah bahagi untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merangsang pelaburan swasta dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ia juga membina ekonomi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan, selain memastikan bahawa keuntungan ekonomi dikongsi secara meluas di seluruh Sarawak,” katanya.

Menurutnya juga, unjuran hasil Sarawak bagi 2025 sebanyak RM14.2 bilion merupakan satu lagi yang terbesar dalam sejarah belanjawan Sarawak berbanding RM13.3 bilion pada 2024.

Justeru dengan Belanjawan Negeri 2025 dijangka menjana lebihan RM486 juta, ia menunjukkan kekuatan kewangan Sarawak pada laluan pertumbuhan pemulihannya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Perbelanjaan mengurus dan pembangunan sebanyak RM15.8 bilion adalah peruntukan terbesar dalam sejarah belanjawan Sarawak berbanding RM13.6 bilion pada 2024.

“Perbelanjaan pembangunan 2025 sebanyak RM10.9 bilion menunjukkan tumpuan kukuh dalam pembangunan Sarawak menyasarkan pengagihan pendapatan saksama sambil kita mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan,” katanya.