News

 

Program Taklimat dan Penerangan Inisiatif PCDS 2030 perlu diperluas

Posted on 03 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

DARO: Program Taklimat dan Penerangan Inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 perlu diperluaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi di daerah Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata usaha itu perlu dilakukan berikutan keadaan penduduk di daerah Daro berselerak di bawah pentadbiran daerah Sibu, Meradong, Matu dan Daro.

"Ya, kita boleh adakan program itu di peringkat akar umbi (kampung) supaya ia lebih dekat lagi dengan penduduk di Daro ini," katanya.

Safiee berkata demikian selepas Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif PCDS 2030 Kerajaan Sarawak di Dewan Masyarakat Daro hari ini.

Taklimat tersebut diadakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik anjuran Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Daro dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro.

Safiee yakin penganjuran program tersebut dapat menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif PCDS 2030 kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Saya berharap ia diteruskan pada masa akan datang. Pada masa yang sama, kita juga boleh memikirkan pendekatan sesuai di peringkat daerah dan DUN," katanya.

Sementara itu, kira-kira 400 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menghadiri program tersebut.

Antara penceramah yang turut memberi penerangan ialah wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Turut sama adalah wakil Mutiara Mortgage & Credit menerangkan bantuan kewangan pembelian perumahan, projek perumahan dan bantuan kewangan sewaan perumahan oleh wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Pejabat Tanah dan Survei (JTS).

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Samat Gany, John Nyigor, Fridah Osman serta Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Abdul Rauf.