News

 

Sarawak terus maju, berdaya saing dalam pelbagai bidang

Posted on 16 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan ekonominya sepanjang 61 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata sekarang ini tumpuan Sarawak adalah ke arah dasar penjanaan ekonomi mampan berteraskan sumber baharu dan ekonomi digital.

Menurutnya, pendekatan baharu ini berteraskan dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang mempunyai tiga dasar utama iaitu menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Tiga dasar utama itu katanya, adalah landasan penting sekali ke arah menjadikan Sarawak wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Alhamdulillah, Sarawak semakin ke hadapan dengan kekuatan yang ada dan pencapaian unggul. Sarawak dengan penjanaan pendapatan yang tinggi telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi pada tahun lepas.

“Saya amat berharap pembangunan ekonomi akan terus pesat dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan bangsa di Sarawak akan terus berkekalan pada masa depan berbekalkan semangat ‘Segulai Sejalai’ yang terbina atas dasar saling hormat menghormati," katanya menerusi Perutusan Hari Malaysia semalam.

Mengenai sambutan Hari Malaysia, Abang Johari berkata Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun, wadah untuk setiap rakyat negara ini memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia pada 1965) telah bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963. 

"Dengan tema yang dipilih: ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, sempena Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan pada tahun ini, tema ini juga secara simboliknya merupakan sebuah seruan khas kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memantapkan serta menghayati erti sebenar kemerdekaan dalam jiwa dan jati diri setiap warga Malaysia yang cintakan tanah air," ujarnya.

Abang Johari juga menyatakan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, Hari Malaysia tahun ini dapat diraikan dan kali ini Sabah menjadi tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2024 disambut di bahagian Sri Aman, tambahnya.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh ahli jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2024 yang diketuai Yang Berhormat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab bagi sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak pada tahun ini yang telah berusaha dengan gigih memastikan sambutan pada tahun ini meriah. 

"Akhir kalam, Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Sarawak. Semoga ikatan perpaduan kita terus teguh dengan semangat setia kawan yang tinggi dalam usaha bersama memajukan Sarawak dan negara.

"Selain melahirkan generasi Madani yang memiliki jati diri tinggi dan setia sepanjang masa pada ibu pertiwi," katanya.