News

 

Jalur Gemilang lambang kesatuan, simbol jiwa merdeka dan bebas daripada penjajahan

Posted on 13 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

BINTANGOR: Jalur Gemilang adalah lambang kesatuan rakyat Malaysia serta simbol jiwa merdeka dan bebas daripada segala bentuk penjajahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata rakyat wajar memartabatkan amalan mengibarkan dan menghias kediaman dengan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negara. 

"Malaysia, khususnya Sarawak adalah sebuah negeri sangat unik. Walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik, mereka tetap mampu hidup dalam harmoni dan kemakmuran. 

"Kesepaduan sosial kukuh ini memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada perpaduan nasional serta pembentukan identiti bangsa Malaysia berbilang kaum dan budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Sarawak Daerah Meradong di Dewan Serba Guna Pejabat Daerah Meradong, petang Khamis.

Konvoi KMJG tersebut diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Ajes Tuah.

Ding berkata, kehadiran semua lapisan masyarakat pada program itu menunjukkan keharmonian dan kedamaian serta persefahaman sebagai rakyat Malaysia sentiasa menghargai dan menyokong kempen patriotisme.

"Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan warisan tradisi hidup di bawah satu bumbung perpaduan wajar kita pertahankan terutamanya ketika kita melangkah ke masa hadapan yang semakin maju dan mencabar bagi generasi milenium. 

"Kita harus bersama mengekalkan kesepaduan sosial dengan memperkukuh semangat perpaduan sambil meletakkan seluruh jiwa dan raga mempertahan kemerdekaan yang kita kecapi," jelasnya.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, wakli Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, ASP Jonathan dan Setiausaha MDMJ, Lau Chi Sing.