News

 

Malam Santai Budaya meriahkan Pesta Tatau

Posted on 10 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

BINTULU: Malam Santai Budaya menyajikan keunikan adat dan budaya masyarakat pelbagai kaum antara acara yang memeriahkan Pesta Tatau di Pentas Utama Taman Komuniti Sungai Jatan di daerah Tatau pada malam Jumaat lalu.

Malam tersebut mengetengahkan persembahan budaya masyarakat Iban yang menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Persembahan adat budaya tradisional masyarakat Iban. - Gambar ihsan penganjur
Persembahan adat budaya tradisional masyarakat Iban. - Gambar ihsan penganjur

Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Dato Sri John Sikie Tayai yang turut membuat persembahan gendang pampat bersama tetamu lain.

Hadir sama isteri beliau Datin Sri Melia Gelen, Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol, Pegawai Daerah Tatau merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Pesta Tatau 2024 Jabang Juntan dan tetamu jemputan lainnya.

Persembahan tarian masyarakat Cina. - Gambar ihsan penganjur
Persembahan tarian masyarakat Cina. - Gambar ihsan penganjur

Persembahan tersebut menampilkan pelbagai elemen budaya tradisional Iban melibatkan upacara miring dan bebiau, pertunjukan beramban, pantun peransang, pantun puji, gendang pampat dan tarian ngajat.

Menurut UKAS, Malam Santai Budaya ini dianjurkan sebagai usaha memperkenalkan dan memelihara warisan budaya masyarakat Iban kepada generasi muda serta pelancong di samping mengukuhkan perpaduan dalam komuniti setempat.

Persembahan tarian Dayak Taman. - Gambar ihsan penganjur
Persembahan tarian Dayak Taman. - Gambar ihsan penganjur

Selain itu persembahan etnik lain turut diadakan antaranya persembahan kebudayaan etnik Vaie dengan pertandingan bermukun, malam kebudayaan Cina melibatkan tarian singa, tarian nyanyian, pakaian tradisional, menukar topeng muka, membuat tanglung dengan bahan kitar semula serta persembahan oleh etnik Dayak Taman.

Malam Santai Budaya sempena Pesta Tatau 2024 anjuran Pejabat Daerah Tatau dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan slot khas disediakan untuk persembahan kebudayaan pelbagai etnik di Tatau supaya orang ramai mengetahui serta memahami adat resam dan budaya etnik berbeza yang ada di daerah Tatau.