News

 

Sarawak mahu kukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau

Posted on 09 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau yang merangkumi rantau ASEAN dan Asia-Pasifik.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara langkah yang diambil untuk mencapai sasaran itu adalah dengan terus memajukan strategi tenaga bersih melalui penerokaan teknologi seperti projek Hibrid Solar-Angin dan Solar-Hidro.

“Inovasi ini melengkapkan pengembangan tenaga hidro kita dan memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon merentasi pelbagai sektor.

“Menerusi inisiatif tenaga diperbaharui yang ada, penyelesaian hibrid ini mengetengahkan komitmen teguh terhadap pembangunan tenaga mampan dan masa depan rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama yang bertajuk 'Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza' pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Singapura hari ini.

Selain itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga sedang memperluaskan pengeluaran metanol hijau. 

Menurutnya, Kompleks Metanol Sarawak yang dilancarkan pada Julai lepas menandakan usaha ke arah sebagai pengeluar metanol terkemuka global dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.75 juta tan metrik.

“Malah kita (Kerajaan Sarawak) turut memberi tumpuan kepada pengeluaran amonia hiliran untuk baja urea, yang penting untuk kesuburan tanah dan keselamatan makanan, sambil menyokong peluang pekerjaan tempatan melalui usaha perindustrian kami yang semakin berkembang.

"Sarawak juga sedang meneroka sumber tenaga alternatif, termasuk menukar loji arang batu kepada biojisim serta membangunkan tenaga ombak sebagai sebahagian daripada campuran tenaga ke arah masa depan rendah karbon," tambahnya.

Abang Johari dalam pada itu memaklumkan Sarawak kini dalam usaha menjadi kuasa tenaga hijau ASEAN, dengan sasaran menggandakan kapasiti elektriknya kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan terus berkembang kepada 15GW menjelang 2035.

Katanya, Sarawak komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada ekonomi rendah karbon. 

“Kita telah melabur dalam teknologi hijau, memperluaskan tenaga hidro, tenaga solar dan mempelbagaikan campuran tenaga kita dengan sumber yang boleh diperbaharui.

“Tenaga hidro adalah kunci dalam peralihan kita, memberikan tenaga bersih untuk pembangunan. Kita juga sedang memperluaskan penggunaan tenaga solar dan meneroka potensi tenaga angin di sepanjang kawasan pantai,” ujarnya.

Semua itu, kata Abang Johari bertujuan meletakkan Sarawak sebagai kuasa tenaga hijau di ASEAN melalui kerjasama global dan penyelidikan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) untuk mengoptimumkan pengeluaran dan pengagihan tenaga, sekali gus memacu ekonomi hijau ke hadapan. 

Persidangan anjuran S&P Global Commodity Insights itu menekankan kepentingan kerjasama dan inovasi untuk mengatasi cabaran seperti perubahan iklim, membuka jalan untuk kemajuan dan mempromosikan kelestarian.

S&P Global Commodity Insights merupakan penyedia terulung dunia bagi penarafan kredit, penanda aras, analitik dan penyelesaian aliran kerja dalam pasaran modal, komoditi dan automotif global.