KUCHING: Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara warisan yang telah dimulakan oleh Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Barieng.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemeliharaan ini penting terutama dalam memberi makna kepada sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
Jelas Abang Johari, dalam usaha memajukan Sarawak, Tun Jugah sama sekali tidak pernah meminggirkan nasib setiap kaum peribumi.
Tun Jugah katanya, sentiasa memastikan kepentingan penduduk peribumi Sarawak terbela dalam segala keputusan yang dibuat semasa proses pembentukan Malaysia.
“Kini, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara perkara dimulakan oleh Tun Jugah dalam memberi makna kepada sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan Masyarakat Malaysia MADANI yang sentiasa hormat, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diseliputi sifat ihsan, saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa bersengketa,” ujar Abang Johari.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Barieng ‘Negarawan Terbilang’ di Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, Tun Jugah telah membina, mencorak dan membuka langkah bagi Sarawak menjadi sebuah negeri yang berjaya bukan hanya dari segi pembangunan malah kualiti rakyatnya.
Tun Jugah yang juga digelar 'Apai’ atau ayah dalam bahasa Iban katanya, menjadi sosok penting yang telah berjuang bagi memerdekakan Sarawak, selain menjadi salah seorang penggerak kepada penyatuan wilayah Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu Abang Johari berkata, penganjuran program ini secara tepatnya telah menggambarkan betapa besarnya jasa sumbangan dan pengorbanan Tun Jugah selama ini.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara Malaysia kerana menganjurkan program seumpama ini bagi menyuburkan kecintaan masyarakat kepada sejarah negara dengan mengenang dan menghargai sumbangan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memerdekakan dan mempertahankan kemerdekaan negara,” katanya.
Siri kedua bagi Program Mengenang Negarawan bertemakan Negarawan Terbilang sempena Hari Kebangsaan itu diadakan selama sehari di DCF dan turut diadakan adalah Pameran Eksklusif Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Barieng.
Program dimulakan dengan sesi pengkisahan yang disampaikan oleh Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Tun Jugah serta Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sebelum sesi pagi diakhiri dengan sesi soal jawab.
Acara diteruskan pada sebelah petang dengan sesi perbincangan Bicarawan Negara yang menampilkan tiga ahli panel dan dipengerusikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Lucy Sebli Seidelson.
Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.