News

 

Jelajah Saya Digital rapatkan jurang digital, manfaatkan masyarakat termasuk warga emas

Posted on 07 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Jelajah Saya Digital (JSD) berpotensi merapatkan jurang digital sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat termasuk warga emas di negara ini.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, di Sarawak program JSD turut diadakan di luar bandar bagi memperkenalkan penggunaan digital di kawasan berkenaan.

"Kita akan pergi ke kawasan luar bandar atau di kawasan kampung agar masyarakat luar bandar memahami digital bahawa pada era globalisasi ini, kita perlu menghadapi penggunaan digital.

"Kita akan memberi satu kesedaran menerusi program JSD kepada masyarakat dan program hari ini, kita dapat saksikan warga emas turut hadir bagi melihat dan mengetahui penggunaan digital pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Program JSD@Kuching di Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Wilson Ugak berkata, JSD adalah pendedahan kepada penduduk agar mereka celik digital.

"Sarawak ini mempunyai kawasan yang besar dan JSD diharap akan diteruskan di kawasan luar bandar.

"Dengan sedaya upaya kita, saya minta MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) teruskan jelajah itu di Bintulu, Miri, Kapit, Belaga dan sebagainya agar rakyat di kawasan berkenaan dapat menikmati dan faham akan digital.

"Kita akan bekerjasama dengan SDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak) untuk kita bersama-sama (menjalankan program) supaya negeri Sarawak tidak ketinggalan termasuk penduduk kampung," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh berkata, JSD setakat tahun ini telah melakukan jelajah di 17 lokasi dan ia akan diteruskan hingga hujung tahun.

"Sejak pelaksanaan JSD, ia telah dijalankan di 78 lokasi dan secara pokok pangkalnya ia sebagai medium untuk rapatkan jurang digital yang ada di samping kita tingkatkan kemahiran.

"Pada masa yang sama kita mahukan pendapatan dan hasil yang diperolehi (usahawan) menerusi digital ini," tambahnya.

Pada masa sama jelas beliau, pihaknya turut mengadakan program khusus untuk warga emas bagi mendedahkan golongan terbabit dengan digital.

"Kita ada program seperti celik digital dan literasi digital yang memberi tumpuan kepada pendedahan digital kepada warga emas dan pelajar yang kurang faham menggunakan digital.

"Kalau kita melihat dari segi usahawan kita ada ramai yang terlibat dalam perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), kalau tidak silap seramai 1.1 juta orang," katanya lagi.

Tambahnya, daripada jumlah itu, lebih 70 peratus masih tidak memiliki akaun bank dan ia dilihat sesuatu perkara yang serius.

"Bagaimanapun, kita sudah nampak ada peralihan daripada mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kemudian kita hendak tingkatkan kepada yang lebih tinggi," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang dan tetamu yang lain.