News

 

Pendidikan dan kesedaran digital diberi perhatian dalam usaha perkasa masyarakat digital: Wilson Ugak

Posted on 07 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Penekanan terhadap aspek pendidikan dan kesedaran digital termasuk kesedaran siber antara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasakan masyarakat digital tanpa mengira usia di negara ini.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, peluang untuk memahami dan memanfaatkan teknologi digital tidak hanya bergantung kepada golongan muda.

"Kita perlu celik teknologi berikutan dalam dunia digital, kita terdedah dengan pelbagai cabaran dan salah satu cabaran itu ialah memastikan keselamatan dan privasi dilindungi ketika menggunakan peranti digital.

"Kementerian terus komited meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan siber dan melindungi rakyat daripada ancaman digital," ujarnya.

Beliau berkata demikiam pada perasmian Jelajah Saya Digital (JSD)@Kuching di Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Wilson Ugak berkata, Kementerian Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) termasuk agensi di bawah kementerian juga komited menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dipacu oleh inovasi keselamatan siber.

"Ia bertujuan mengurangkan kerentanan sistem digital selain memperkukuhkan kebergantungan kendiri Malaysia dalam ruang siber," katanya.

Wilson Ugak (dua kiri) merakamkan kenangan di reruai MyDigital ID semasa melakukan lawatan di kawasan pameran digital selepas merasmikan program berkenaan. - Gambar Chimon Upon
Wilson Ugak (dua kiri) merakamkan kenangan di reruai MyDigital ID semasa melakukan lawatan di kawasan pameran digital selepas merasmikan program berkenaan. - Gambar Chimon Upon

Di Sarawak katanya, Kementerian Digital menyedari akan keperluan memperkukuh infrastruktur digital di kawasan luar bandar.

"Kami sedang berusaha memastikan akses Internet yang stabil dan pantas untuk penduduk di Bumi Kenyalang dalam memastikan tiada masyarakat yang tercicir daripada arus digital," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Liwan Lagang yang mewakili Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama antara semua pihak mampu mencapai hasrat kerajaan membangunkan akses teknologi di seluruh negeri.

"Saya percaya dengan kerjasama yang padu semua pihak, kita dapat mencipta peluang baharu, meningkatkan akses teknologi dan memastikan setiap individu di Sarawak dapat manfaat daripada digital.

"Ia selaras dengan kelestarian pembangunan berasaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar dan secara khususnya Sarawak Digital Economy Blueprint 2030," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh dan tetamu yang lain.