KUCHING: Usaha Sarawak dalam ekonomi hidrogen menggambarkan dedikasinya terhadap inovasi sekali gus mencapai matlamat untuk menjadi peneraju global dalam tenaga bersih.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, di samping matlamat menuju tenaga boleh diperbaharui, Sarawak juga komited untuk menerajui ekonomi hidrogen di ASEAN.
“Sarawak mengorak langkah yang ketara di Asia Tenggara apabila berkaitan dengan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Kami (Sarawak) juga yang pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang menyokong CCUS dan aktiviti berkaitan karbon lain.
“Ini menunjukkan komitmen kuat kami untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih dan menetapkan penanda aras untuk diikuti oleh orang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) di Sydney, Australia hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kapasiti untuk menjana sehingga 15 gigawatt (GW) campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 daripada pelbagai sumbernya.
Katanya, Sarawak sedang giat meneroka kaedah inovatif untuk memanfaatkan tenaga melalui potensi kuasa hidro, solar, biojisim, bahan api mampan dan hidrogen.
Beliau memberitahu, peralihan Sarawak kepada ekonomi hijau amat bergantung kepada tenaga mampan, sekali gus memerlukan matlamat bercita-cita tinggi untuk mencapai gabungan tenaga boleh diperbaharui 10GW menjelang 2030.
"Tetapi kita boleh menghasilkan sehingga 15GW menjelang 2035," katanya.
Menurutnya, usaha itu akan mewujudkan landskap dinamik untuk pelabur yang berminat dalam penyelesaian tenaga mampan dan boleh diperbaharui.
Sementara itu, Abang Johari turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Australia-Sarawak Business Council (AMBC) dan Dewan Perniagaan Sarawak-Australia (SABC).
Objektif utama MoU itu adalah untuk mewujudkan perkongsian strategik antara AMBC New South Wales (NSW) dan SABC untuk mempermudah dan mempromosikan aktiviti perdagangan, pelaburan dan perniagaan antara Sarawak dan Australia.
SABC diwakili oleh Presidennya, Rodger Chan Siong Boh dan AMBC NSW oleh Presidennya, Philip Low.