News

 

Pendekatan inovatif Sarawak dalam ekonomi hijau jadi perhatian global: Premier

Posted on 14 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MUKAH: Sarawak kini menjadi perhatian global kerana pendekatannya yang inovatif dalam ekonomi hijau, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat, di sini malam tadi, Abang Johari menyeru rakyat negeri ini untuk memperkukuhkan perpaduan seiring dengan pengiktirafan yang diterima Sarawak atas usaha-usaha dalam bidang tersebut.

Katanya, Sarawak kini terkenal di peringkat antarabangsa melalui penggunaan sumber tenaga lestari seperti hidroelektrik, hidrogen, solar dan tenaga ombak. 

“Dunia kini melihat Sarawak kerana pendekatan ekonomi baharu kita berbeza daripada yang lain. 

"Kita mahu menghasilkan tenaga hijau dan dalam masa sama sangat bersyukur kerana mempunyai kuasa hidro yang disumbangkan oleh pemimpin terdahulu. 

"Sekarang kita menggunakan tenaga baharu seperti hidrogen dan solar dan terbaru adalah tenaga ombak untuk menjana tenaga elektrik yang masih dalam peringkat percubaan di Bintulu," ujar beliau.

Abang Johari turut memberitahu bahawa beliau telah menerima jemputan dari Sydney, Australia, pada minggu hadapan dan diikuti dengan jemputan dari Hong Kong untuk memberi ceramah mengenai ekonomi hijau sekali gus menandakan pengiktirafan global terhadap inisiatif negeri ini. 

Sebelum ini, beliau juga menerima jemputan dari Poland, Belanda, Singapura dan Thailand atas pendekatan ekonomi hijau Sarawak.

“Sarawak dikenali di seluruh dunia pada hari ini dan atas sebab ini, rakyat perlu mengukuhkan perpaduan mereka. 

"Saya memberitahu kepimpinan di Kuala Lumpur bahawa jika Sarawak kuat, Malaysia kuat. 

"Begitu juga, jika Sarawak makmur, Malaysia juga akan makmur. Kita ada semangat seperti itu,” tegasnya.

Abang Johari bersalam dengan para tetamu semasa menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Mukah, malam tadi.
Abang Johari bersalam dengan para tetamu semasa menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Mukah, malam tadi.

Mengenai perkara lain, Abang Johari mengulangi bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2027 bersama Kuala Lumpur. 

“Adalah memalukan bagi Malaysia jika ia enggan menganjurkan Sukan SEA. 

"Jadi, saya memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa demi Malaysia, Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama acara itu. 

"Ini juga akan meningkatkan taraf sukan kita ke peringkat antarabangsa. Kita akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dengan syarat upacara perasmian mesti dilakukan di Sarawak,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dalam ucapannya, menyampaikan hasrat penduduk di Mukah agar kerajaan meneruskan pembinaan Stadium Mukah Fasa 2 dan membina rumah kos rendah. 

Beliau berkata, pembinaan stadium tertutup, gelanggang serba guna, padang sintetik hoki, dan bola sepak di tapak sedia ada di bawah Stadium Mukah Fasa 2 telah dirancang hampir 10 tahun lalu.

“Kemudahan ini amat penting bagi menampung keperluan penduduk di Mukah, sekali gus melengkapkan status Mukah sebagai bahagian dan meletakkannya setanding dengan bahagian lain seperti Bintulu dan Sibu. 

"Bagi perumahan, terdapat ruang besar di Lot 981, Blok 76 dan Lot Mutiara Indah 2 milik Perbadanan Kemajuan Perumahan (HDC) yang boleh dibangunkan dengan perumahan kos rendah bagi menampung keperluan orang ramai, terutama pasangan yang baru berkahwin,” jelas beliau.

Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

oleh