News

 

FoSM anjur ceramah 'Tumbuhan Ubat Penan Selungo' pada 11 Ogos

Posted on 03 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Rakan Muzium Sarawak (FoSM) akan menganjurkan ceramah bertajuk 'Tumbuhan Ubat Penan Selungo' pada 11 Ogos 2024 di Hotel Telang Usan.

Menurut kenyataan hari ini, mereka yang berminat dijemput hadir pada jam 2 petang dan ceramah secara percuma itu akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris.

"Pendaftaran bagaimanapun harus dilakukan menerusi pautan ini 
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScL4bRQxvPxQIiwKCGvwsymFcEr2igb...," kata kenyataan itu.

Ceramah tersebut juga merupakan kempen kesedaran yang dianjurkan oleh FoSM untuk meraikan Hari Orang Asli Antarabangsa yang merangkumi pengetahuan botani orang Penan di Selungo, iaitu anak Sungai Baram. 

Ia juga berdasarkan senaskah buku Tumbuhan Ubatan Tradisional Masyarakat Penan Borneo oleh Franklin George. 

Beliau memberi penekanan terhadap beberapa tumbuhan dalam komuniti dan bagaimana 50 spesies perubatan telah didokumenkan. 

Ceramah itu juga akan menunjukkan bagaimana pemahaman mendalam kaum Penan tentang persekitaran semula jadi mereka dan penggunaan flora perubatan secara mampan untuk generasi, tambahnya.

Penceramah yang dijemput FoSM ialah Franklin George yang berasal dari Long Kerong.

Beliau merupakan penyelaras projek Persatuan Rakyat bagi Pembangunan dan Pendidikan Penan Sarawak (PADE). 

Franklin sangat berminat dengan pengeluaran bersama pengetahuan Penan dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan Penan.
 
Beliau merupakan penuntut Ijazah Sarjana Sains Sosial daripada Institut Informatik Sosial dan Inovasi Teknologi (ISITI) UNIMAS, yang memberi tumpuan kepada pendokumentasian, pendigitalan dan pemuliharaan Oroo,’ bahasa isyarat yang digunakan oleh kumpulan Penan nomad.