News

 

Ketua-ketua jabatan diseru beri komitmen penuh kepada tiga matlamat dalam SDE 2030

Posted on 01 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Ketua-ketua jabatan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak diseru memberi komitmen sepenuhnya kepada tiga matlamat penting yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030 bagi memacu pelaksanaan inisiatif kerajaan digital.

Unit Komunikasi Awam Sarawak UKAS melaporkan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkara pertama yang wajib diambil perhatian adalah untuk memastikan semua perkhidmatan kerajaan negeri dapat diakses secara dalam talian dengan mudah dan selamat bagi memberi kemudahan kepada rakyat. 

Perkara kedua menurut beliau, setiap agensi perlu mengutamakan ketersediaan dan perkongsian data awam yang lebih baik untuk kegunaan pekerja dalam menyediakan dasar, perkhidmatan dan program yang lebih terarah kepada perniagaan dan komuniti.

Selain itu, perkara ketiga yang ditekankan pula adalah untuk memastikan semua transaksi kerajaan dilakukan secara elektronik dan bersepadu, di samping pekerja perlu mahir dalam alatan dan teknologi digital untuk memastikan semua penjawat awam 100 peratus celik digital.

"Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan dalam mandatnya kepada perkhidmatan awam awal tahun ini bahawa pendigitalan bukanlah pilihan tetapi ia adalah wajib.

"Semua pihak diingatkan untuk terus komited terhadap sasaran yang telah ditetapkan dan mematuhi nilai-nilai SCS iaitu 'Sense of Urgency and Ownership', 'Result Oriented' dan 'Team Spirit.

"Kejayaan sebenar terletak pada impak progresif yang kita cipta untuk rakyat Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Digital Kerajaan Sarawak 2024 dengan tema 'Ke Arah 100% Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Visi 2030' anjuran Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam (SCSDU) di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Mohamad Abu Bakar telah melancarkan 'SCSMobile+', aplikasi canggih yang dikenali sebagai 'SCS Super App' yang direka untuk memperkasa penjawat awam dalam menjalankan tugas secara digital.

Di samping itu, beliau juga menyempurnakan penyampaian Anugerah SCSDU 2024 yang terdiri daripada Anugerah Agensi Pengkatalog Data Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Maklumat Terbaik, Anugerah Penolong Ketua Pegawai Maklumat Terbaik dan Anugerah Juruweb Terbaik.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-ketua jabatan kerajaan negeri ini.