News

 

Pesta Ujud semarakkan sambutan Hari Sarawak di Simunjan

Posted on 22 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Pesta Ujud menjadi salah satu simbol meraikan sekali gus memeriahkan suasana sambutan Hari Sarawak di kawasan Simunjan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris memberitahu, pesta yang diadakan sejak 2019 itu mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik yang mampu membuka minda masyarakat setempat mengenai hari bersejarah itu.

"Mengikut perancangan asal, Pesta Ujud diwujudkan sebagai festival khas bagi memperingati dan menyambut Hari Sarawak.

"Oleh sebab itu, bulan Julai dipilih sebagai bulan untuk mengadakan pesta ini," katanya semasa ditemui pada Ahad.

Awla memberitahu, Pesta Ujud ini sentiasa diusahakan untuk dilaksanakan pada bulan Julai bagi memperingati hari bersejarah Sarawak.

"Kalau boleh pesta ini memang dibuat pada bulan Sarawak merdeka dan bebas daripada penjajah, namun untuk hari penentunya (Pesta Ujud) perlu dilakukan mengikut keadaan air sungai dimana ia hanya dapat dilaksanakan ketika air sungai berada dalam keadaan normal," katanya.

Terdahulu, Pesta Ujud dianjurkan Angkatan Anak-Anak Keleka dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Keleka Hilir, Keleka Tengah dan Keleka Ulu memasuki edisi yang Ke-4 selepas kali pertama dianjurkan pada tahun 2019 yang lalu.

Ia diadakan selama 10 hari bermula 12 Julai lalu hingga 22 Julai.

Antara aktiviti-aktiviti menarik dilaksanakan sepanjang 10 hari Pesta Ujud adalah memancing, menangkap udang, lontar kelapa muda, menganyam ketupat, permainan dart, cukur kelapa, menumbuk beras, membuat penyapu lidi, panjat tiang lincin, pukul bantal, dan melastik botol.

Turut diadakan, aktiviti menyumpit, karaoke, fesyen retro, dan pembuatan kuih tradisional.

Menurut Awla, aktiviti-aktiviti ini seperti mengetengahkan kisah nostalgia lama, jadi ia diangkat semula untuk didedahkan kepada generasi baru.

"Dari situ secara tidak langsung kita membuka ruang untuk mereka lebih berminat tentang sejarah yang telah terjadi termasuk menyebarkan tarikh sebenar Hari Sarawak mendapat kebebasan sebenar," katanya.

Awla berkata penganjuran Pesta Ujud pada masa akan datang terus diperkasa dengan menggalakkan orang ramai terutama mereka yang berada di luar kawasan Simunjan untuk turut serta sekali gus bersama-sama meraikan pesta sempena meraikan Hari Sarawak itu.

Beliau percaya pesta ini secara tidak langsung akan menjadi platform penting dalam mendedahkan para masyarakat dengan erti sebenar tarikh 22 Julai 1963-Hari Kebangsaan Sarawak.

oleh