News

 

Warga NIOSH harus contohi perpaduan kaum di Sarawak: Chong

Posted on 21 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Warga Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) harus mencontohi perpaduan pelbagai kaum di negeri ini yang cukup teguh dalam era kemajuan pesat.

Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen berkata, ketika negara dan dunia berhadapan pelbagai cabaran yang mampu meretakkan perpaduan, bandar raya Kuching dan Wilayah Sarawak wajar menjadi contoh toleransi antara kaum dapat mewujudkan masyarakat cukup harmoni serta menjunjung teguh konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

"Pada masa sama, rakyat Sarawak juga sentiasa memelihara adat dan budaya yang menjadi lambang kemegahan kami di sini.

"Warga NIOSH harus mencontohi perpaduan kaum di bandar raya ini, khasnya yang cukup teguh dalam era kemajuan yang pesat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Hari Keluarga NIOSH Pejabat Wilayah Sarawak (NFD-SWRO) di sebuah pusat peranginan di Santubong dekat sini, malam tadi.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin berkata, pemilihan bandar raya Kuching bagi penganjuran program itu juga amat bertepatan kerana ia merupakan Bandar Raya Perpaduan yang dihuni lebih 600,000 penduduk daripada sekitar 30 etnik.

"Pemilihan resort ini amat bersesuaian, bukan sahaja kerana kemudahan dan keindahan semula jadi, tetapi lokasinya berdekatan beberapa tarikan pelancongan termasuk Kampung Budaya Sarawak serta Gunung Santubong yang popular kerana legendanya," katanya.

Chong juga berterima kasih kepada Kelab Kebajikan dan Sukan NIOSH (KKSI) kerana berjaya melaksanakan program yang diadakan khusus untuk warga SWRO dan keluarga mereka.

"Pendekatan yang julung kali diadakan ini amat bermakna kerana memberi peluang untuk ahli keluarga warga NIOSH di Sarawak untuk menikmati program ini kerana sebelum ini ia hanya diadakan di Semenanjung.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pengurusan NIOSH," tambahnya.

ADUN Padungan itu juga mengucapkan tahniah kepada warga SWRO kerana berjaya melepasi sasaran latihan dan pendapatan yang ditetapkan untuk enam bulan pertama tahun ini.

"Dengan semangat berpasukan dan kerja keras, saya yakin kesemua pejabat cawangan SWRO bukan sahaja mampu mencapai sasaran, malahan melepasi sasaran untuk tahun ini" katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Pengerusi NIOSH Manivanan Govin, Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh, Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Maidin dan Presiden Kelab Kebajikan dan Sukan NIOSH Hamzah Jamaluddin.

oleh