KUCHING: Selepas kejayaan penganjuran kelas kebudayaan pada Jun lepas, Akademi Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) meneruskan kelas kebudayaannya untuk bulan ini pula.
Ketua ASADIA, Mabong Unggang berkata kelas kebudayaan ini melibatkan beberapa seni warisan budaya Iban iaitu Kelas Pantun Iban, Kelas Tarian Ngajat Indu, Kelas Tarian Ngajat Lelaki dan Kelas Betabuh.
Katanya, Kelas Pantun Iban katanya dibimbing Charles Gerugu, seorang yang mahir dalam seni berpantun dalam bahasa Iban.
Manakala Kelas Tarian Ngajat Indu dan Ngajat Lelaki yang dibuka di Siburan dan di Turung, kira-kira 30 kilometer dari Kuching, masing-masing dibimbing Xania dan Ericsen Johny Pising.
Selain membimbing Kelas Tarian Ngajat Lelaki, Ericsen turut membimbing Kelas Betabuh yang dibuka di Turung, Siburan.
Gembira dengan sambutan yang diterima bagi kelas kebudayaan ini, Mabong berkata ASADIA akan meneruskan kelas kebudayaan ini pada Ogos ini.
Ini kerana katanya masih ramai golongan muda yang menyatakan minat untuk menyertai kelas kebudayaan kelolaan ASADIA dalam pelbagai seni.
Dalam perkembangan sama, ASADIA menurut Mabong juga ada menganjurkan kelas membuat kain burie.
Kain burie katanya, mempunyai sejarah lebih kurang 200 tahun dan kini ia semakin popular di kalangan masyarakat untuk digayakan pada majlis-majlis tertentu.
Melihat kepada minat masyarakat yang semakin tinggi terhadap kain burie ini, ASADIA mengadakan kelas membuat kain burie dua kali setahun.
Pada siri kedua kelas itu katanya, seramai lima peserta menyertain kelas itu yang dibimbing oleh Roselind Indun dan Elizabeth Tara selama dua hari.
Pada hari kedua kelas tersebut, kesemua lima peserta kata Mabong sudah berjaya menghasilkan kain burie masing-masing.
Mabong juga percaya bahawa kemahiran membuat kain kurie ini bukan sahaja untuk digayakan sendiri tetapi juga boleh dijual untuk menjana pendapatan.