KUCHING: Hotel-hotel di Sarawak sudah bersedia untuk menampung kira-kira 10,000 tetamu yang datang ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Ogos depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, jangkaan itu berdasarkan keupayaan Sarawak menjadi tuan rumah kepada 26,000 pengunjung semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di sini bulan lepas.
"Memandangkan hotel kita mampu menangani kemasukan yang begitu besar semasa RWMF selama tiga hari, mengalu-alukan 26,000 pengunjung, saya percaya kita sudah bersedia untuk SUKMA," katanya semasa program 'Juh Randau' oleh UKAS pada Selasa.
Ting juga berkata penganjuran SUKMA memberikan peluang ekonomi yang besar bukan sahaja di Kuching tetapi di seluruh Sarawak.
“Kali ini, kita akan melihat penganjuran di luar Kuching juga seperti di Miri yang akan menganjurkan enam kategori.
“Dengan berbuat demikian, kita boleh menarik pengunjung dari negara jiran Brunei, sekali gus meningkatkan bilangan peserta,” katanya.
SUKMA 2024 dengan Sarawak menjadi tuan rumah akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos, dengan beberapa acara dijadual diadakan sebelum majlis perasmian.