News

 

Ekonomi baharu tawar peluang pelaburan berpotensi

Posted on 17 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Ekonomi baharu seperti hidrogen yang sedang pesat dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak menawarkan peluang-peluang pelaburan berpotensi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peluang pelaburan ditawarkan itu sangat luas, bermula dari membangunkan elektroliser termaju dan sel bahan api hingga mencipta penyelesaian penyimpanan mapan serta rangkaian pengangkutan.

Menurutnya kuasa hidro Sarawak menyediakan sumber tenaga yang mampan dan mampu milik membolehkan Sarawak menjadi hab hidrogen.

"(Kini) kami sedang menerokai cara inovatif untuk memanfaatkan tenaga menggunakan empangan melata, suria, angin, biojisim, bahan api mampan dan hidrogen.

"Ini mewujudkan persekitaran dinamik untuk pelabur melabur dalam penyelesaian tenaga mampan dan boleh diperbaharui. 

"Selain itu, tenaga diperbaharui telah menjadi tarikan utama bagi pelabur yang ingin mengurangkan jejak karbon mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Siri Pelaburan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) - Sarawak 2024 ‘Membina Masa Depan Mampan: Melabur di Sarawak’ yang berlangsung di Ibu Pejabat MIDA di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata Sarawak merupakan pemain utama industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Asia Tenggara.

Menurutnya CCUS adalah pemboleh untuk pengeluaran hidrogen karbon rendah dengan kos rendah yang menyokong usaha penyahkarbonan.

Malah Sarawak ujarnya, negeri yang pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang membolehkan CCUS dan aktiviti berkaitan karbon dijalankan di negeri itu.

"Sarawak berada di barisan hadapan revolusi digital dan akan terus mengembangkan infrastruktur digital, meningkatkan kemahiran digital dan inovasi bagi mewujudkan ekosistem bersepadu serta sektor teknologi yang bertenaga.

"Kami menawarkan pelabur persekitaran yang kondusif untuk merintis teknologi dan penyelesaian baharu seperti pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan dan Internet of things (IOT)," katanya.

Awang Tengah berkata pembangunan infrastruktur strategik, tonggak utama meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak katanya sedang menaik taraf rangkaian pengangkutan termasuk jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang serta utiliti dan telekomunikasi untuk operasi perniagaan yang lebih cekap di Sarawak dan seterusnya. 

Kerajaan Sarawak katanya, telah membangunkan taman perindustrian yang dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas seperti Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Perindustrian Demak Laut untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

"Tenaga kerja mahir adalah aset penting untuk menarik pelaburan. 

“Tenaga kerja kami yang muda, berpendidikan tinggi dan boleh dilatih bukan sahaja memenuhi permintaan industri tetapi boleh disesuaikan dengan keperluan masa depan," katanya.

Selain itu katanya, kestabilan politik dan tadbir urus yang telus memberi keyakinan kepada pelabur yang berhasrat menubuh dan mengembangkan usaha niaga mereka di Sarawak. 

Sarawak juga katanya, menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan dengan rangka kerja undang-undang jelas dan dasar sokongan diwujudkan khas bagi menyokong pelaburan dan memudahkan urusan perniagaan para pelabur.

"Insentif komprehensif ditawarkan oleh kerajaan persekutuan dan Sarawak antara lain seperti  elaun pelaburan serta tarif elektrik dan air yang kompetitif menjadikan Malaysia, termasuk Sarawak destinasi pelaburan yang menarik.

"Insentif ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan dan memupuk pembangunan mampan," katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazlan Abang Hipni dan Pengerusi MIDA Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.