News

 

Tiga acara meriahkan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024

Posted on 16 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Tiga acara utama bakal memeriahkan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 yang akan diadakan di Sibu pada 30 hingga 31 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikei Tayai berkata, sambutan dimulakan dengan Konsert Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, jam 8 malam dan acara Fun Walk pada 31 Ogos yang dijangka disertai kira-kira 5,000 orang.  

Jelas beliau yang juga menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Perayan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024, kedua-dua acara ini akan diadakan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang.

“Seterusnya pada kemuncak sambutan, Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud.  

“Pelbagai persembahan kebudayaan telah dirancang oleh jawatankuasa pengelola termasuk persembahan khas dan nyanyian daripada artis popular tanah air dan tempatan,” katanya yang dipetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Sikie berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi merupakan tetamu kehormat yang akan menyerikan sambutan berkenaan.

“Turut dijangka hadir ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar warga tempatan khususnya masyarakat Sibu mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi di premis, bangunan pentadbiran kerajaan serta kediaman masing-masing bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. 

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan wakil-wakil jabatan.