News

 

Forum Sarawakiana sempena Hari Sarawak pada 19 Julai

Posted on 16 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) akan mengadakan Forum Sarawakiana sempena Hari Sarawak yang bertajuk Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak pada 19 Julai ini.

Pustaka dalam kenyataan berkata, forum yang berlangsung jam 9 pagi itu akan membentangkan tajuk-tajuk menarik oleh ahli panel jemputan seperti Dr Suffian Mansor (UKM), Dr Nadrawina Isnin (UiTM) dan Dr Shahri Abdul Rahman (pesara pendidik) bersama moderator Profesor Madya Dr Caesar Dealwis (UiTM).

Objektif forum itu katanya, sebagai platform untuk berkongsi dan memaparkan sejarah perjuangan anti-penyerahan Sarawak kepada British.

“Ia juga bagi memberi penghormatan kepada pejuang-pejuang gerakan antipenyerahan atas sumbangan mereka kepada negeri Sarawak khasnya. 

“Pada masa sama, forum ini diadakan untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada orang ramai mengenai isu-isu yang berkaitan dengan anti-penyerahan Sarawak terutama dalam perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British,” katanya.

Tambah Pusaka, tujuan lain pula ialah untuk merungkai peranan gerakan anti-penyerahan Sarawak terhadap kemerdekaan negara dan mengetahui peranan dan perjalanan patriot wanita melalui forum ini kelak.

Menurutnya, penyertaaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai. 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Aidashermilla Hashim (aidasheh@sarawak.gov.my) atau Izaruddin Moss (izaruddin@sarawak.gov.my) di talian 082-374000.