MIRI: Pameran seni bertemakan ‘A Tapestry of Nature and Culture’ akan diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Miri (Pustaka Miri) pada 28 Julai ini, selain di Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) pada 26 dan 27 Julai.
Pustaka Miri dalam kenyataan medianya berkata, pameran tersebut yang diadakan di pekarangan lobinya bermula jam 10 pagi hingga 4 petang adalah sempena Borneo International Arts Festival (BIFA) dan merupakan program kerjasama dengan Curtin Malaysia.
“Pameran ini mengetengahkan hasil karya artis tempatan dan antarabangsa seperti Thailand.
“Antara objektif pamerannya adalah untuk menonjolkan kemahiran dan kreativiti artis tempatan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Selain mempamerkan karya mereka, pameran seni tersebut turut mempromosikan pemahaman dan penghargaan terhadap pelbagai budaya melalui karya seni artis.
Malah orang ramai yang hadir juga boleh mempelajari mengenai kepelbagaian ekspresi seni dan warisan budaya.
“Acara ini juga menyediakan platform untuk para artis terbabit menerima penghargaan dan pengiktirafan atas dedikasi karya mereka,” tambahnya.
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Bahagian Perkhidmatan Penglibatan Komuniti melalui e-mel cesd.pm@gmail.com atau di talian 085-422 525 berhubung dengan Dorithy Dela Lawrence, Muhd Annwar Adenan, Zuwahir Ilias atau Suzanna Abdullah.
Maklumat juga boleh diperolehi dengan melawat laman media sosial Pustaka Negeri Sarawak Miri.