News

 

Dasar pendidikan Sarawak harap dapat 'balasan' generasi akan datang: Dr Annuar

Posted on 13 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Dasar pendidikan percuma yang akan dilaksanakan di Sarawak diharap mendapat 'balasan' daripada generasi akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, 'balasan' yang diharapkan bukanlah berbentuk wang ringgit, tetapi sumbangan yang boleh membantu membangunkan negara, khususnya Sarawak.

"Jangan lupa semua polisi dan bantuan kewangan yang telah diberikan kerajaan harus dikembalikan semula.

"Tetapi bentuk pulangan baliknya bukanlah menggunakan wang ringgit, tetapi sumbangan anda kepada negeri ini selepas belajar," ujarnya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Kolej Laila Taib (KLT) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Seramai 109 pelajar diploma daripada tujuh program masing-masing menerima skrol daripada Dr Annuar yang juga Pengerusi KLT.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo dan Ketua Pegawai Eksekutif KLT Eric Wong.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menggesa pelajar yang telah mendapat manfaat daripada dasar pendidikan di Sarawak supaya pulang ke tanah air, khususnya ke Sarawak untuk menabur bakti.

"Tiada orang lain yang dapat membantu kita kecuali generasi muda sekarang.

"Disebabkan itu, polisi kita sangat jelas iaitu tidak mahu generasi muda ketinggalan tidak kira kaum dan apa agama anda, supaya dapat belajar ke universiti.

"Apa yang penting anda dapat mencapai hasrat ini menerusi manfaat daripada dasar kerajaan Sarawak ini," tegasnya.

Dr Annuar juga memberitahu sekolah antarabangsa di Sibu diharapkan dapat melaksanakan pengambilan pelajar pertamanya pada 2026 atau 2027.

Sementara itu, beliau menggesa pelajar yang berjaya menamatkan program diploma mereka supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, hanya dengan mempunyai pendidikan sedemikian akan membolehkan pelajar menjadi orang yang berjaya di dunia ini.

Sehubungan itu, Dr Annuar mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan pelajar atas kejayaan mereka, sambil menyifatkannya sebagai permulaan kejayaan mereka.

Pada majlis kali ini, Diony Sim Jun Wei, Katleen Au Wei Fang dan Chin Yi Ting masing-masing menerima Anugerah Dekan, manakala Lam Yeong Yuh dan Mcarthur Robert menerima Anugerah Hadiah Buku.

Joyce Fong Yuen Choo pula menerima Anugerah Laila Taib.
 

]oleh