SIBU: Pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan MADANI akan memberi satu mesej kepada pelabur-pelabur asing bahawa kerajaan kini tengah berusaha untuk memperbaiki ekonomi negara.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling berkata, mesej ini diharap dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk datang dan melabur memandangkan negara kini perlu bersaing dengan negara-negara lain di Asia Tenggara terutama Thailand dan Vietnam.
"Semua negara ini berdaya saing dan pelabur-pelabur asing mungkin akan pergi ke negara ini untuk melabur.
"Kita perlu menunjukkan kepada pelabur yang Malaysia mempunyai suasana pelaburan yang lebih baik.
"Kita mempunyai ramai pakar-pakar selain rakyat yang boleh berbahasa sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
"Ramai juga yang boleh berbahasa Mandarin dan Tamil, jadi kita mempunyai kelebihan dari segi ini," ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.
Di samping itu katanya, kestabilan politik juga merupakan satu faktor yang akan menarik pelabur untuk melabur kerana di negara lain mungkin ada menghadapi masalah dari segi kestabilan politik.
Sambil berharap Malaysia masih mampu menjadi satu destinasi menarik untuk pelabur asing melabur di Asia Tenggara, Ling berkata kemerosotan ekonomi negara tidak seteruk berbanding negara lain di dunia seperti United Kingdom dan Jepun.
"Nilai matawang Yen Jepun sekarang merupakan matawang yang paling teruk jatuh di Asia buat masa ini.
"Kemerosotan nilai matawang negara kita bukan yang terburuk.
"Kemerosotan ekonomi dunia juga disebabkan perang yang berlaku di Ukraine dan Palestin.
"Ini semua mengakibatkan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, bahan-bahan mentah terutama makanan sekarang sudah menghadapi kenaikan harga.
"Jadi kenaikan harga barang yang berlaku tidak hanya disebabkan faktor dalam negara tetapi juga faktor antarabangsa.
"Cabaran kita sekarang adalah bagaimana kita menghadapi semua masalah ini," ujarnya.
Berikutan semua itu kata Ling, banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan MADANI bagi membantu rakyat dan meringankan beban kehidupan mereka seperti Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan sebagainya.
"Tidak pernah dahulu kita lihat banyak program seperti Jualan Rahmah dianjurkan untuk membantu rakyat.
"Di bawah kerajaan MADANI, banyak usaha dilakukan bagi membantu rakyat serta meringankan beban kehidupan mereka.
"Beban kehidupan ini meningkat bukan kerana pelaksanaan subsidi bersasar tetapi disebabkan faktor-faktor lain seperti faktor antarabangsa kerana sekarang ekonomi seluruh dunia memang merosot," tegasnya.