News

 

Kaul Mukah 2024 bakal tampil Malam Konsert Perpaduan

Posted on 11 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Kaul Mukah 2024 yang akan berlangsung dari 13 hingga 21 Julai ini bakal menampilkan kelainan iaitu Malam Konsert Perpaduan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2024 Abdul Yakub Arbi berkata, Kaul Mukah yang diadakan di Tapak Kaul Mukah itu mendapat kerjasama Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) yang membawakan Malam Konsert Perpaduan.

“Kelainan pada tahun ini ialah Malam Konsert Perpaduan yang dibawakan YPS.

“Pada malam itu, pelbagai persembahan menarik akan diketengahkan, antaranya penampilan Duta Sape YPS, artis tempatan seperti Iwan Dris yang berganding bersama Morse Uotye dan Wanie Alias,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Kaul Mukah 2024 yang dihadiri Ketua Eksekutif YPS Datu Aloysius J. Dris di sini, hari ini.

Menurut Abdul Yakub, selain itu pihak YPS juga akan mengikuti pameran pembangunan dan membuka reruai pada tahun ini. 

Beliau berkata, antara malam kemuncak program ialah Malam Galau Cats di mana pelbagai artis terkenal akan membuat persembahan termasuk Khai Bahar, Melissa Francis dan ramai lagi.

“Selain itu, program juga akan menyediakan pameran pembangunan yang diadakan selama seminggu dan disertai pelbagai institusi terdiri daripada kerajaan dan swasta.

“Pentas hiburan juga disediakan bagi memeriahkan lagi Kaul Mukah. Antara persembahan yang akan diadakan ialah Melanau Idol, Konsert Artis Melanau, Persembahan 'Buskers,' Pertandingan Bermukun, Pertandingan Tarian Tradisional Melanau dan Pertandingan Teluwih,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kaul Mukah, Abdul Yakub berkata ia secara amnya terbahagi kepada dua acara utama iaitu Kaul Seraheng Kakan yang diadakan dengan mengekalkan tradisi lama sebelum pesta Kaul berlangsung.

Manakala, Pesta Kaul pula adalah acara karnival yang diadakan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara pentas, permainan dan persembahan tradisi dan moden, pertandingan, jualan dan pameran. 

Katanya, penganjur tahun ini menyasarkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata, pada tahun lepas Kaul Mukah telah menerima kira-kira 10,000 pengunjung termasuk dari Semenanjung dan Brunei, malah ada yang turut menyertai beberapa program yang diadakan.

Abdul Yakub berkata, objektif Kaul Mukah adalah untuk memaparkan keunikan budaya kaum Melanau kepada masyarakat luar.

“Selain itu, sebagai salah satu wadah untuk melestarikan budaya kaum Melanau melalui acara dan aktiviti kebudayaan yang diadakan secara tahunan,” katanya.

oleh