News

 

Kestabilan politik, keharmonian kaum realisasikan pembangunan menyeluruh: Hasbi

Posted on 03 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

LIMBANG: Kestabilan politik dan keharmonian kaum amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan kerajaan dapat direalisasikan termasuk di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, segala dasar pembangunan yang dirancang pastinya tidak akan berjaya dalam keadaan politik yang tidak stabil.

Jelas beliau, agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat akan diteruskan dan dilaksanakan demi memastikan segala kemudahan dan prasana yang dibina memberi manfaat kepada rakyat secara holistik.

“Platform-platform sebegini memang penting untuk memastikan rakyat bersatu padu dan apabila rakyat bersatu padu, daerah, bahagian, Sarawak dan Malaysia akan aman.

“Dengan keamanan ini maka kerajaan hari ini dapatlah  memikirkan banyak agenda pembangunan untuk dilaksanakan dan tidak bernoktah,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Kebudayaan Gawai Dayak Sempena Pesta Medamit di Dewan Terbuka Nanga Medamit baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengerusi Sarakup Dayak Iban Sarawak (SADIA) Limbang Jerry Sere dan Timbalannya Jangan Bakar.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan, melalui kestabilan politik juga kerajaan dapat menumpukan pembangunan modal insan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya dan semua ini perlu dikekalkan demi kesinambungan masa depan generasi muda.

Dalam pada itu, beliau mahu kaum-kaum yang ada di negeri ini memelihara dan meneruskan adat tradisi dan kebudayaan mereka sebelum pupus ditelan zaman ekoran perkembangan pesat dunia globalisasi.

Jelasnya, generasi baharu hari ini perlu mempelajari dan mewarisi kepelbagaian adat budaya kaum masing-masing dari aspek muziknya, pakaian, warisan budaya, bahasa dan sebagainya daripada orang-orang tua terdahulu.

Kata beliau lagi, usaha memelihara adat budaya ini perlu dilakukan bagi mengelak warisan budaya tradisional dilupakan begitu sahaja kerana tiada pewarisnya.
 

oleh