News

 

Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu sarat pengisian

Posted on 03 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

BINTULU: Sambutan Hari Sarawak 2024 yang sarat dengan pelbagai acara dan program akan berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama di sini pada 22 Julai ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia akan mengetengahkan kemajuan yang dicapai serta usaha kerajaan Sarawak memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Antaranya pendapatan Sarawak daripada Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum serta banyak usaha lain dirancang membabitkan penerokaan tenaga hijau, hidrogen, alga serta bahan api mampan (SAF).

"Kita dikenali di peringkat antarabangsa, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijemput memberikan ucaptama di Poland, Paris, Bali dan sebagainya," ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan Hari Sarawak 2024 di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Wisma Bintulu di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata, masa depan memerlukan tenaga hijau dan hidrogen adalah tenaga hijau paling bersih, justeru mengurangkan pencemaran karbon merupakan sumbangan paling penting kerajaan Sarawak kepada dunia dalam menghadapi perubahan iklim.

"Harus difahami kita (Sarawak) membentuk Malaysia bersama, kita taat sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia, tidak perlu khuatir kerana kita kekal dalam Malaysia dan kesetiaan kita tidak perlu dipersoalkan.

"Hari Sarawak penting setelah Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan (Ketua Menteri Sarawak kelima) menetapkan 22 Julai sebagai sambutan signifikan terutama bagi generasi muda mengetahui bahawa Sarawak memerintah sendiri pada 22 Julai hingga 16 September bergabung membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura, namun Singapura tidak bersama lagi pada 1965," jelasnya.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak bekerja keras tanpa terlalu mengharapkan bantuan kerajaan persekutuan terutama membangunkan kawasan luar bandar, sehingga banyak pembangunan dilaksanakan agar generasi baharu tidak menghadapi masalah.

"Kita berterima kasih kepada pemimpin lepas kerana menyediakan platform sejahtera dan sempurna untuk meneruskan usaha membangunkan Sarawak," katanya sambil menambah, usaha ini bukan datang bergolek sebaliknya memerlukan perancangan.

Dr Rundi berkata, pengisian program sambutan melibatkan Majlis Kesyukuran (bagi agama-agama Lain) pada jam 10 pagi, 20 Julai yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Pengguang Manggil dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin Bintulu diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Jabatan Agama Islam Sarawak pada jam 6 petang, 21 Julai.

Ini diiikuti 'Fun Ride' di Dewan Suarah Bintulu sejauh 15 kilometer diketuai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat serta Jabatan Belia dan Sukan pada jam 7 pagi, 22 Julai dan sesi townhall di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (jam 2 petang, 22 Julai) diketuai Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting serta BDA.

Acara kemuncak ialah Perhimpunan Hari Sarawak 2024 di Tapak Lapangan Terbang Lama pada jam 8 malam, 22 Julai diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi serta Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) serta Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Bintulu.

Majlis dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta menteri-menteri kabinet negeri dan ahli-ahli Yang Berhormat.

Pada malam 22 Julai katanya, ramai artis akan membuat persembahan, antaranya Bob Yusuf, Melissa Francis, Dayang Nurfaizah serta persembahan pentomin yang memperlihatkan usaha Sarawak mendapatkan hak agar rakyat faham bahawa kerajaan sentiasa berusaha menggapai masa depan lebih baik.

Sementara itu, Dr Rundi menyeru semua premis, kedai dan pejabat mengibarkan bendera Sarawak dengan bendera dibekalkan ataupun pemilik premis boleh membeli sendiri dan pastikan bangunan premis dinyalakan lampu terang pada sebelah malam.

"Kita akan memasang papan iklan mengenai sambutan ini supaya dapat dilihat orang awam, lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan agensi kerajaan dari luar akan datang ke Bintulu bukan sahaja untuk meraikan Hari Sarawak, malah menyaksikan Agrofest Sarawak 2024.

"Kita menganggarkan 10,000 orang akan datang ke Bintulu dan seramai 430,000 pengunjung pula akan mengunjungi Agrofest di tapak sama yang mana Jabatan Pertanian Malaysia akan menyambut sambutan 100 tahun penubuhannya bermula 12 hingga 22 Julai ini," jelasnya.
 

oleh