BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) giat melaksanakan sambutan perayaan bersama supaya dapat dikongsikan dengan semua kaum tanpa mengira latarbelakang agama dalam usaha terus memperlukuhkan hubungan antara kaum di Sarawak.
Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, perayaan Gawai misalnya bukan sahaja untuk diraikan oleh suku kaum Dayak, tetapi kini dikongsi bersama semua kaum di Sarawak tanpa mengira agama.
Katanya, ini evolusi yang harus diteruskan memandangkan cabaran semakin berat dan banyak pada masa akan datang.
"Orang Sarawak harus terus kekal bersatu supaya dapat sama-sama membangun negeri ini selaras dengan cita-cita dan wawasan Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kita," ujarnya dalam ucapan aluan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak BDA 2024 di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Ulu Sebauh hari ini.
Haidar mengucapkan penghargaan kepada rakan strategik BDA sejak tahun 2023 yang telah mula berkolaboratif dengan semua syarikat gergasi di Kidurong dan Samalaju serta yang bertapak di Bintulu untuk sama-sama bekerjasama memeriahkan majlis perayaan sedemikian.
"Tahun ini saya amat bangga dan sukacita melihat penglibatan syarikat dan rakan strategik dalam menjayakan majlis ini kerana tanpa kerjasama, majlis tidak akan semeriah ini serta diharap dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berterima kasih kepada Rumah Raymond yang mengizinkan penganjuran majlis sambutan Gawai di rumah panjang itu serta sokongan padu penduduknya.
"Kalau dulu sambutan perayaan ini agak sederhana tetapi hari ini kita dapat melihat di seluruh Sarawak sambutannya begitu hebat serta tidak kurangnya di Bintulu," katanya.
Justeru katanya, pihaknya berjanji pada tahun mendatang untuk meraikan sambutan Hari Gawai, Hari Raya dan Tahun Baharu Cina dengan lebih meriah dengan melibatkan seluruh penduduk di Bintulu.
Sementara itu, Tuai Rumah Raymond berkata, pihaknya teruja melihat sambutan ramai dan meriah pada Rumah Terbuka Gawai anjuran BDA serta berbesar hati menerima kehadiran semua ke rumah panjangnya.
Katanya, sejarah rumah panjang tradisional itu yang dibina dengan kayu sepenuhnya mempunyai 53 pintu (keluarga) dan 600 penduduk setakat 2024 dan beliau merupakan generasi keenam dan orang kesembilan menjadi tuai rumah.
"Ini merupakan rumah panjang tempat kelahiran mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena," katanya.
Menurutnya, pada September tahun lepas, rumah panjang itu dipilih menjadi lokasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam jelajah Kembara Kenali Borneo serta pernah dilawati Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015 dan Perdana Menteri ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn pada 1979.
Katanya, banyak program telah diadakan sejak Mei di rumah panjang serta pernah dilawati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, agensi kerajaan dan swasta termasuk lawatan dari luar negara.
"Kita juga berbesar hati atas pemilihan rumah panjang oleh BDA untuk sambutan Gawai memandangkan BDA merupakan agensi penting yang merancang pembangunan fizikal di Bintulu dan semestinya rumah panjang ini berada di kawasan pentadbiran BDA," katanya.