News

 

Bahasa Iban antara baharu ditambah dalam perkhidmatan Google Translate

Posted on 29 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Bahasa Iban antara bahasa yang baharu ditambah untuk terjemahan dalam perkhidmatan Google Translate.

Menurut pengumuman di blog rasmi Google The Keyword pada 27 Jun, Iban serta Kantonis, NKo dan Tamazight adalah antara 110 bahasa baharu yang ditambahkan pada Google Translate menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Menurut jurutera perisian kanan Google Translate, Isaac Caswell dalam pengumuman itu, ini adalah pengembangan alat terbesar yang pernah dibuat melalui model bahasa besar PaLM 2nya.

“Daripada bahasa Kantonis kepada Q’eqchi’, bahasa baharu ini mewakili lebih 614 juta penutur — membuka terjemahan untuk sekitar 8 peratus penduduk dunia. Ada yang merupakan bahasa utama dunia dengan lebih 100 juta penutur.

"Yang lain dituturkan oleh komuniti kecil orang pribumi dan sebilangan kecilnya hampir tidak mempunyai penutur asli tetapi usaha pemulihan aktif," katanya.

Beliau menjelaskan PaLM 2 adalah bahagian penting kepada teka-teki, membantu Google Translate dengan lebih cekap mempelajari bahasa yang berkait rapat antara satu sama lain.

“Google Translate memecahkan halangan bahasa untuk membantu orang ramai berhubung dan lebih memahami dunia di sekeliling mereka.

“Kami sentiasa menggunakan teknologi terkini supaya lebih ramai orang boleh mengakses alat ini — pada tahun 2022, kami menambah 24 bahasa baharu menggunakan Zero-Shot Machine Translation, di mana model pembelajaran mesin belajar menterjemah ke bahasa lain tanpa melihat contoh.

“Kami juga mengumumkan Inisiatif 1,000 Bahasa; komitmen untuk membina model AI yang akan menyokong 1,000 bahasa yang paling banyak dituturkan di seluruh dunia,” katanya.

Perbincangan tentang bahasa Iban yang ditambahkan ke dalam Google Translate telah wujud sejak kebelakangan ini, berikutan pengumuman oleh ketua pegawai eksekutif Google Sundar Pichai pada Persidangan Pembangun tahunan Google 2022 di California.

The Borneo Post pada 13 Mei 2022 melaporkan bahawa bahasa Iban akan dimasukkan dalam Google Translate selepas ‘Jaku Iban’ dilihat dalam persembahan slaid semasa ucapan Sundar.