News

 

DCF cadangkan Kubu Lily, Kubu Sylvia dijadikan pusat warisan budaya Iban

Posted on 24 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) mencadangkan Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit dijadikan sebagai pusat warisan budaya Iban. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, artifak warisan budaya Iban bertaburan di merata tempat. 

Justeru katanya, perlu ada satu tempat untuk mengumpul dan mempamerkan artifak ini bagi tujuan pelancongan dan pemuliharaan. 

“Kami difahamkan Jabatan Muzium sedang menaik taraf beberapa kubu lama termasuk Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit.

“Justeru, DCF merancang untuk membantu pihak muzium menguruskan dua kubu ini. 

“Sebahagian daripada tanggungjawab kita (DCF) adalah untuk mengumpul semua artifak bermula dengan warisan Iban dan kemudiannya kumpulan etnik lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Jun di Bangunan DCF, Jalan Ong Tiang Swee di sini hari ini.

Ditemui selepas majlis itu, Uggah yang juga pengerusi DCF berkata pada masa ini tiada pusat bagi warisan budaya Iban dan artifak yang dipamerkan pada simposium berkenaan adalah milik persendirian. 

Justeru beliau berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas persetujuan serta-merta untuk DCF meneruskan cadangan ini. 

Bercakap mengenai simposium itu, Uggah berkata objektifnya adalah untuk membincangkan kepentingan memulihara dan menjaga aset warisan budaya Iban. 

Selain itu katanya, simposium itu juga sebagai platform untuk membincang dan bertukar idea mengenai isu dan cabaran warisan budaya Iban. 

“Kita menjemput 200 peserta terdiri daripada ahli politik, penjawat awam kanan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tidak kurang daripada 10 orang intelektual dan ahli akademik untuk berkongsi ilmu. 

“Jadi kita berharap simposium ini akan dapat mencapai objektifnya dalam usaha memulihara dan memartabatkan warisan budaya kita,” katanya.