Oleh Agnes Tugong
KUCHING: Pameran dan pertunjukan seni warisan budaya kaum Iban antara tarikan pada Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Berlangsung di Bangunan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) yang baru dibuka di Jalan Ong Tiang Swee di sini, pelbagai produk seni Iban dipamer dan dipertunjukkan termasuk dari Sintang, Kalimantan Barat, Indonesia.
Antara yang diundang untuk pameran dan pertunjukan itu, tukang anyam tikar bemban, Jinab Nyanggau, 60, dari Rumah Lidum, Nanga Enseluai, Julau.
Menurut Jinab, ini merupakan kali pertama dia diundang untuk menyertai pameran seperti ini untuk melakukan demonstrasi seni anyaman tikar bemban.
Mewarisi seni anyaman tikar bemban daripada ibunya, Jinab berkata dia kini satu-satunya tukang anyam yang masih aktif di tempatnya.
“Mereka yang pandai menganyam tikar bemban semakin kurang pada masa ini kerana anak muda tidak pandai dan di tempat saya sendiri hanya saya yang masih bergiat.
“Tambahan sumber bemban sukar diperolehi masa ini dan saya mahu mengangkat semula seni anyaman ini yang diwarisi daripada ibu saya untuk diperturunkan kepada anak-anak saya pula,” katanya.
Satu tikar bemban dijual antara RM200 dan ke atas mengikut saiz dan motif bunga.
Sementara itu, pemilik Galeri Kain Pantang Sintang, Dian Beni Yuda dari Sintang, Kalimantan Barat, Indonesia berkata ini kali pertama mereka diundang untuk menyertai simposium dan ekspo ini.
Pada simposium ini katanya, mereka membawa produk-produk hasil buatan tangan suku Iban yang terdapat di Indonesia berasaskan pua kumbu.
“Ada beberapa produk yang kami bawa yang dihasilkan daripada pua kumbu seperti kain pua kumbu dan baju yang dibuat daripada pua kumbu.
“Ada beberapa produk sudah dijual dan untuk simposium ini kami membawa 100 helai kain pua kumbu dan 20 baju pua kumbu yang dijual pada harga antara RM35 hingga RM1,200,” katanya.
Dian dalam pada itu berharap penyertaan mereka dalam simposium ini akan membolehkan lebih mengenali seni warisan budaya antara kaum Iban di Sarawak dan Indonesia.
Pada masa sama katanya, dapat saling bertukar maklumat dan menyokong usaha yang dibuat untuk mempertahankan budaya masyarakat Dayak Iban.
Dalam pada itu selain demonstrasi anyaman tikar bemban turut dipamerkan dan dipertunjukkan pada simposium itu ialah seni tatu Iban, tenunan pua kumbu, koleksi barangan pakaian tradisional termasuk parang perang.