News

 

Dua kubu jadi pusat budaya Iban

Posted on 24 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberi ‘lampu hijau’ untuk Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit berfungsi sebagai pusat warisan budaya yang mempamerkan artifak antik daripada kaum Iban.

Premier Sarawak itu berkata, ini akan membolehkan pengunjung terutama pelancong dari luar Sarawak belajar lebih lanjut tentang sejarah dan budaya kumpulan etnik terbesar di Sarawak selain melindungi dan memelihara warisan budaya tempatan.

“Saya bersetuju dengan cadangan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah agar kedua-dua kubu ini berfungsi sebagai pusat warisan budaya.

"Bagi saya… saya tidak nampak sebarang masalah dengan itu dan anda boleh terus mula mengumpul artifak-artifak tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban di Ibu Pejabat Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya lanjut mengenai permintaan Uggah tentang DCF sedang mempertimbangkan idea untuk menubuhkan pusat warisan budaya bagi mempamerkan artifak Iban di Kubu Lily dan Kubu Sylvia.

Abang Johari berkata, beliau setuju dengan cadangan itu kerana kubu-kubu tersebut agak kosong tanpa banyak yang dapat dipamerkan apabila pengunjung datang.

“Saya pernah melawat ke kubu di Sri Aman dan (pada masa itu) terdapat 'perahu' yang dipamerkan kerana adanya tetamu kenamaan (VIP).

“Jadi, apa yang kita perlukan di sini adalah pameran yang tetap untuk pengunjung mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan latar belakang sambil juga memelihara artifak-artifak tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mencadangkan agar DCF menggunakan Muzium Budaya Borneo sebagai model mereka kerana banyak pameran di sana dilihat sangat interaktif.

“Apa yang penting adalah ia mesti interaktif. Gunakanlah teknologi untuk berinteraksi atau paparan naratif untuk menceritakan sesuatu kisah,” katanya.

Terdahulu, Uggah yang juga pengerusi DCF berkata, Yayasan itu mencadangkan Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit dijadikan sebagai pusat warisan budaya Iban. 

Menurutnya, artifak warisan budaya Iban bertaburan di merata tempat dan justeru, perlu ada satu tempat bagi mengumpul serta mempamerkan artifak tersebut.

“Kami difahamkan Jabatan Muzium Sarawak sedang menaik taraf beberapa kubu lama termasuk Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit.

“Justeru, DCF merancang untuk membantu pihak muzium menguruskan dua kubu ini,” katanya.