News

 

Doulos Hope dijadual berlabuh di Kuching dari 1 hingga 29 Ogos

Posted on 18 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Pesta buku terapung Doulos Hope dijadualkan berlabuh di Kuching, bermula 1 hingga 29 Ogos.

Perkara itu diumumkan pengendali kapal, GBA Ships, dalam catatan terbaharu dalam laman webnya.

Doulos Hope buat masa ini sedang berada di Phnom Penh, Kemboja sejak 4 Jun lalu hingga 4 Julai ini.

Menurut jadual dalam laman web GBA Ships, ia akan berlabuh di Singapura terlebih dahulu dari 9 hingga 29 Julai sebelum menuju ke Kuching.

Tahun lepas, Doulos Hope membatalkan rancangan ke Kuching, yang mengecewakan ramai orang di Sarawak.

Dilaporkan dalam media ketika itu bahawa pembatalan tersebut adalah disebabkan oleh isu tenaga kerja.

Menurut laman Facebooknya, Doulos Hope menawarkan lebih 2,000 buku.

Kapal itu adalah tambahan terbaharu, bersama-sama dengan Logos Hope, di bawah GBA Ships, yang misinya adalah untuk menggalakkan literasi dan pendidikan, kerjasama silang budaya, dan kesedaran sosial dengan bekerjasama dengan komuniti setempat.