News

 

Budaya ‘ngiling tikai’ atau ‘ngiling bidai’ perlu dikekal sebagai adat tradisi Dayak

Posted on 17 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

SRI AMAN: Budaya ‘ngiling tikai’ atau ‘ngiling bidai’ perlu dikekalkan sebagai adat tradisi masyarakat Dayak yang sangat unik agar ia tidak ditelan arus pembangunan semasa.

Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, budaya seperti ini perlu dikekalkan dari semasa ke semasa dan perlu diadakan setiap tahun sebagai satu simbolik penutupan perayaan Hari Gawai bagi masyarakat Dayak.

“Anak-anak generasi muda masa kini perlu mempelajari dan mewarisi budaya ini dari datuk nenek mereka agar budaya ini tidak hilang begitu sahaja ditelan arus permodenan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pengerami Ngiling Bidai Gawai Dayak anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Pinggai Undop, Sri Aman di sebuah restoran di sini semalam.

Menurutnya, budaya ‘ngiling tikai’ atau ‘ngiling bidai’ hampir serupa dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dirayakan oleh kaum Melayu.

“Bagi masyarakat Melayu selepas sahaja hari raya, kaum tersebut turut mengadakan majlis tamah-tamah atau Majlis Belanggar Meja sebagai tanda atau simbolik penutupan sambutan hari raya di peringkat kaum berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Pinggai kerana terus memelihara budaya seperti ini.

“Saya berharap JKKK atau rumah panjang yang lain juga mengadakan majlis seperti ini sebagai usaha mengekalkan budaya dan adat resam kita,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Empaga Bailey, Penyelia Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman Suggom Sadai, Pengerusi JKKK berkenaan Ivyana Giang, Pengerusi Biro Wanita Arren Riji serta Ketua masyarakat yang lain.