News

 

KMKK di konstituensi Kedup diseru sentiasa pelihara adat resam Bidayuh

Posted on 16 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di konstituensi Kedup diseru untuk sentiasa memelihara adat resam kaum Bidayuh agar tidak dilupa oleh generasi muda.
 
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben memberitahu, adat resam yang diturun daripada nenek moyang itu termasuk tarian, pakaian dan makanan tradisional.
 
“KMKK harus mengambil berat perkara ini supaya generasi baharu akan terus mempelajari dan menghayatinya supaya tidak dilupakan oleh golongan muda pada masa kini.
 
“Dengan kewujudan teknologi moden yang serba canggih pada masa kini dan menjadi sangat popular di kalangan generasi baharu berbanding adat resam lama,” katanya dipetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
 
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Gawai KMKK Kedup 2024  bersama Komuniti Bunan Gega dan Bunan Punok di Tebedu, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu menambah, para KMKK harus serius dan tegas dalam memelihara adat resam dan budaya kaum Bidayuh agar mampu dikekalkan selamanya.
 
Turut hadir ialah ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Ketua Polis Daerah Serian DSP Neil Baginda, wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee dan wakil Pegawai Daerah Tebedu Angela Thomas.