News

 

KMKK dilihat sebagai institusi amat penting oleh kerajaan

Posted on 13 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

BINTULU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) yang lebih mengetahui keadaan di kampung dan rumah panjang perlu memahami peranan mereka bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta dasar-dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kerajaan Sarawak melihat ketua masyarakat dan kaum sebagai institusi amat penting yang paling tahu apa yang berlaku di kampung dan rumah panjang.

Justeru katanya, mereka berperanan penting menyalurkan maklumat berkenaan dasar-dasar kerajaan mengikut kaedah yang terkini untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terjaga antaranya program bantuan untuk rakyat.

"Kita mahu bantuan kerajaan betul-betul sampai kepada rakyat yang memerlukan," ujarnya dalam ucapan aluan majlis perasmian Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 Siri 10 Bil.5/2024 untuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sebauh anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Jabatan Premier Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seramai 50 ketua masyarakat dan ketua kaum dari sekitar daerah Sebauh menghadiri kursus tersebut.

Dr Juanda berkata, bagi memastikan peranan dan tanggungjawab ketua masyarakat dan kaum mencapai tahap signifikan dalam komuniti, penerapan amalan integriti amat penting supaya isu-isu salah laku seperti rasuah, penyelewengan ataupun pecah amanah dapat dielakkan.

Katanya, berkenaan program yang diadakan itu, ia amat penting untuk melindungi ketua masyarakat dan memberi kemahiran kepada mereka bagaimana memastikan amalan integriti dapat diterapkan kepada semua.

Ujarnya, mereka perlu memahami peranan serta memastikan kesejahteraan rakyat dan polisi kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.