News

 

KMKK diseru fahami makna integriti agar dapat dibudayakan

Posted on 13 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

BINTULU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu memahami makna integriti supaya dapat membudayakannya dalam kepimpinan mereka di peringkat akar umbi dalam memajukan kampung mahupun rumah panjang.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ada makna spesifik untuk memahami nilai-nilai integriti yang bukan sahaja berkaitan dengan kejujuran, amanah, kredibiliti dan sebagainya.

"Ada perkataan yang sesuai untuk itu, antaranya, sikap keterbukaan, ketelusan dan kebolehpercayaan apabila melihat permasalahan di kampung-kampung," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 Siri 10 Bil.5/2024 untuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sebauh anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Jabatan Premier Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Justeru katanya, ketua masyarakat dan kaum perlu memahami makna integriti dan penyertaan mereka dalam kursus itu perlu diberikan penekanan susulan.

"Ia bukan penyertaan satu hari dalam kursus tetapi perlu ada penyertaan susulan.

"Sekiranya tidak tahu jangan malu untuk bertanya terutamanya berkaitan dengan hala tuju kepimpinan mereka," jelasnya.

"Kenapa salah laku integriti berlaku?

"Ia kerana sikap tamak, kehendak dan keinginan seseorang itu terhadap sesuatu," tambahnya.

Jelasnya, apabila melakukan sesuatu yang sempurna dan baik, pastinya kita akan mendapat kepuasan namun sebaliknya apabila melakukan perkara bertentangan.

Beliau menyifatkan untuk melakukan sesuatu perkara yang menyalahi integriti seseorang itu wajar berfikir dan takut akan balasan yang diterima daripada Tuhan.

Terdahulu seramai 50 peserta yang terdiri daripada ketua kaum meliputi temenggung, pemanca dan penghulu serta ketua-ketua masyarakat daerah Sebauh menghadiri kursus tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat dan Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi.