News

 

Rakyat Sarawak harus iktiraf prospek cerah inisiatif tenaga hijau: Dr Sim

Posted on 13 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Rakyat Sarawak harus mengiktiraf prospek cerah inisiatif tenaga hijau, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, peluang pekerjaan dalam sektor tenaga hijau harus direbut oleh anak jati Sarawak, selaras dengan aspirasi kerajaan menjadikan Sarawak wilayah pertama di Malaysia yang mempelopori sektor tersebut.

"Kalau boleh, saya tidak mahu melihat pekerjaan ini diambil oleh orang dari luar Sarawak. Pekerjaan ini dicipta oleh orang Sarawak, untuk anak Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran FAME International Skills Academy dan platform fame-meta.com di Crown Square, Jalan Pending di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FAME International Skill Academy dan FAME-META Academy David Chew dan Pengarah Urusan FAME International Educational Group Eddie Wee.

Dr Sim juga menegaskan, sektor tenaga hijau adalah penting bagi masa depan ekonomi Sarawak, oleh itu negeri mesti menumpu untuk membangunkannya bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduknya.

Beliau juga berkata, sektor tenaga hijau bersedia untuk menjadi sumber pendapatan utama Sarawak pada masa hadapan dan rakyat Sarawak harus menyedari potensi tersebut.

Sarawak katanya, mempunyai sumber semula jadi yang banyak seperti hidrogen serta biojisim dan ia boleh dimanfaatkan untuk membangunkan sektor itu sebagai sumber pendapatan utama negeri.

"Bersama-sama, kita boleh makmur di Sarawak dengan membangunkan sektor tenaga hijau kerana kita mempunyai semua sumber asli yang diperlukan.

"Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga berminat untuk melihat Sarawak menjadi pusat kuasa tenaga hijau," katanya.

Beliau dengan itu menggesa rakyat Sarawak melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk terlibat dalam sektor itu mulai sekarang.

Dalam perkara berkaitan, Abang Johari pada bulan lalu dilapor telah mengumumkan anggaran AS$460 bilion (RM2.158 trilion) dijangka dilaburkan dalam cadangan projek Hab Tenaga Baharu Sarawak di Bintulu.

"Jumlah itu termasuk kedua-dua perbelanjaan kerajaan dan pelaburan sektor swasta," katanya selepas taklimat di Samsung E&A Corporation di Seoul pada masa itu.

Pengumuman itu mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Korea Selatan, iaitu semasa beliau bertemu dengan pegawai dari Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea, serta pemimpin industri tenaga negara itu.

Bulan lalu juga dilaporkan Sarawak Energy Bhd (SEB), syarikat utiliti elektrik milik Sarawak, menyasarkan untuk menjana 10,000 megawatt (MW) tenaga menjelang akhir 2030 dan mengembangkan perniagaan di luar Borneo.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEB James Ung Sing Kwong berkata, negeri mempunyai sumber untuk mencapai sasaran itu sama ada melalui kuasa hidro, biojisim, kuasa kitaran gabungan gas atau loji solar.