News

 

Sarawak sasar bekerjasama dengan Jepun, Korea Selatan, AS kurangkan kos pengeluaran hidrogen

Posted on 12 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Sarawak menyasar untuk bekerjasama dengan pakar dari Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari percaya tenaga hidrogen boleh menggantikan tenaga berasaskan bahan api mentah atau fosil pada masa depan sebaik sahaja kos pengeluaran telah diturunkan untuk menjadi tahap yang lebih boleh diterima bagi menggalakkan penggunaan tenaga lebih besar.

"Kita telah berjaya mengurangkan tenaga elektrik yang digunakan untuk menghasilkan satu kilogram hidrogen daripada 60 kilowatt kepada 38 kilowatt dan kita mahu mengurangkannya lagi kepada 15 atau 10 kilowatt," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada US-Malaysia Clean Tech Forum 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abang Johari berkata, kilang pemasangan telah ditubuhkan di Demak Laut antara SEDC Energy, Gentari dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), antara rakan kongsi lain, untuk menghasilkan elektroliser yang lebih cekap dalam pengeluaran hidrogen.

“Jadi, dasar ekonomi Sarawak diselaras berdasarkan kekuatan yang kita ada dan menggunakan kekuatan kita dengan teknologi sedia ada. Ini akan menyumbang, sekurang-kurangnya dalam cara yang kecil, usaha kita untuk mengurangkan pelepasan karbon," katanya. 

Disebabkan kemajuan ketara Sarawak dalam mendorong penggunaan tenaga diperbaharui, Abang Johari berkata, beliau telah dijemput ke persidangan dan forum di Belanda, Poland, Australia dan Thailand untuk berkongsi pandangannya tentang peralihan tenaga, dengan jemputan terbaru dari Hong Kong. 
Selain itu, Abang Johari berkongsi dengan para hadirin tentang kepelbagaian dan keharmonian masyarakat Sarawak, penguasaan bahasa Inggeris yang kuat dan pelbagai sumber semula jadi seperti cahaya matahari dan air untuk menarik pelaburan.

Beliau juga menegaskan bahasa Inggeris tidak seharusnya dianggap sebagai bahasa penjajah tetapi bahasa antarabangsa yang boleh memudahkan komunikasi dengan rakan sejawat antarabangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas ucapannya, Abang Johari berkata hidrogen yang dianggap sebagai bentuk tenaga terbersih, berpotensi untuk menggantikan tenaga diesel dan ini akan membantu kerajaan persekutuan dalam mengatasi beban kewangan menyalurkan subsidi bagi bahan api itu.

US-Malaysia Clean Tech Forum 2024 dianjurkan bersama oleh Kedutaan AS di Malaysia.

Antara hadirin terkenal pada forum itu ialah Duta AS ke Malaysia Edgard D Kagan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.