News

 

Isu kewarganegaraan anak-anak gagal dikesan ibu bapa kandung, draf akan dikemuka kepada Kabinet

Posted on 12 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Satu kertas cadangan atau draf bagi memberikan status kewarganegaraan bagi anak-anak yang gagal dikesan ibu bapa kandung mereka akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pihaknya kini berdepan cabaran untuk memberikan status kewarganegaraan kepada anak-anak yang ditempatkan di rumah kebajikan - ibu bapa tidak dapat dikesan.

"Inilah cabaran yang kita hadapi sekarang, kanak-kanak yang ditempatkan rumah kebajikan ibu bapa kandung mereka sememangnya tidak dapat dikesan. Kita tidak tahu siapa ibu bapa kandung mereka.

"Sedangkan antara syarat ditetapkan untuk mendapatkan status kewargangeraan dengan indikator 'K' di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pemberian indikator 'K' adalah mengikut status indikator ibu atau bapa kandung seperti tertera di dalam sijil lahir asal anak tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Kewarganegaraan 15A dan Majlis Penghargaan kepada bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), hari ini.

Mengulas lanjut Fatimah berkata, permohonan rakyat Sarawak yang diluluskan permohonan kewarganegaraan tidak secara automatik akan mendapat indikator 'K'. 

Mereka katanya, hanya akan diberikan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewargangeraan di Sarawak (DSITKS).

"Selepas mendapat sijil kewarganegaraan iaitu DSITKS, langkah seterusnya ialah mendapatkan status atau indikator 'K'. Perlu diingatkan, mendapat status kewarganegaraan tidak bermaksud secara automatik mendapat 'K' kerana beberapa syarat seperti ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mesti dipenuhi.

"Inilah cabaran yang kita hadapi ketika ini lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang ditempatkan di bawah  jagaan rumah-rumah kebajikan-ibu bapa kandung mereka sememangnya tidak dapat dikesan," ujarnya.

Beliau berkata setakat 1 November 2022 hingga 13 Mei tahun ini (2024) Kementeriannya telah menerima 700 permohonan untuk mendapatkan DSITKS dan daripada jumlah itu 223 atau 32 peratus) memenuhi syarat manakala 477 permohonan atau 68 peratus tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Pada majlis itu, enam daripada tujuh kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching mendapat sijil kewarganegaraan diwakili pengetua institusi itu Mohamad Iskandar Mohammed Tudin.

"Kita sangat bersyukur kerana akhirnya anak-anak kita (kanak-kanak ditempatkan di institusi kebajikan) mendapat sijil kewarganegaraan. Maknanya mereka  akan mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan-bantuan lain disediakan Kerajaan Sarawak khasnya," tambahnya.

Sementara itu, Fatimah mengucapkan tahniah kepada bekas Pengarah JKMNS Adana Jed kerana berpindah tempat bertugas dan dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.

"Sumbangan beliau kepada JKMNS sangat dihargai walaupun hanya satu tahun lima bulan menerajui JKMNS.

"Saya juga mengalu-alukan kehadiran Tuan Haji Semawi Mohamad sebagai Pengarah JKMNS yang baharu," katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.