News

 

Karnival Gawai Dayak medan semai tradisi dan adat dalam kalangan golongan muda

Posted on 09 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Karnival Gawai Dayak menjadi medan untuk menyemai tradisi dan adat yang disanjung dalam kalangan golongan muda agar terus berkembang kepada generasi seterusnya, kata Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata demikian semasa menutup Karnival Gawai Dayak 2024 di Dewan Manggeng, Kampung Sungai Du'uh di sini, malam tadi.

"Selain perayaan yang meriah, karnival ini telah menyediakan peluang yang tidak ternilai untuk pendidikan, pembinaan kemahiran dan pemerkasaan komuniti… bukti ketabahan dan kerancakan warisan Dayak kita.

"Saya sangat teruja untuk mengatakan bahawa kita telah mencapai kejayaan ini dan banyak lagi," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut mengetengahkan detik-detik menarik daripada Karnival Gawai Dayak 2024 yang telah berlangsung.

"Pertandingan ratu cantik seperti Dayung Sangon dan Dari Pogan telah menjadi platform terbaik untuk individu mempamerkan kekuatan dan keyakinan dalaman mereka, walaupun terdapat perdebatan mengenai acara sebegitu," katanya.

Sagah turut melahirkan rasa bangga dengan inisiatif pendidikan yang dijalankan semasa karnival itu, seperti pameran pendidikan dan ceramah yang diadakan baru-baru ini.

"Lebih-lebih lagi bengkel peningkatan kemahiran telah menawarkan peluang kepada ahli komuniti untuk meningkatkan kemahiran mereka dan mencipta masa depan yang lebih cerah untuk diri mereka sendiri," tambahnya.

Antara yang menarik lainnya tambah Sagah termasuk, permainan tradisional Bidayuh, pesta makanan, kraf tangan dan pakaian tradisional.

Menurutnya, aktiviti itu bukan sahaja meraikan warisan budaya tetapi juga menggalakkan perpaduan dan kerja berpasukan dalam masyarakat.

Dalam ucapan penutupnya, Sagah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival tersebut. 

"Dedikasi dan semangat anda benar-benar membawa perubahan. Saya yakin semangat perpaduan dan kebanggaan budaya yang dipupuk semasa karnival ini akan terus subur dalam komuniti kita," jelasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin bersama tetamu dan orang kenamaan lain.