News

 

Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia di SCV, 13-15 September

Posted on 09 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia akan diadakan di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, mulai 13 hingga 15 September 2024. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pemilihan lokasi di SCV pada edisi kali ini adalah amat sesuai.

“Tempat ini sesuai dengan representasi asli negeri kita yang mempunyai pelbagai budaya selain menyediakan latar belakang yang sempurna untuk pelbagai perayaan. 

“Semua kawasan dalam kampung ini nanti akan diaktifkan termasuk rumah tradisional untuk mewujudkan sebuah pengalaman budaya dan gastronomi yang mengasyikkan kepada semua pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian pada sidang media Pesta Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia di SCV di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pesta itu perlu dipromosikan supaya lebih ramai pelancong datang untuk memberi manfaat dari segi ekonomi khususnya.

“Kita perlu promosi supaya orang melihat bahawa SCV kita masih baik dan bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dalam dan luar negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nancy menyifatkan pesta sebegini baik untuk ekonomi di samping merapatkan dan mempromosikan hubungan budaya di Sarawak.

“Kerana kita tahu Sarawak terutama Kuching telah menjadi bandar kreatif di bawah UNESCO, untuk gastronomi, jadi ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah kita lakukan sebelum ini,”ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA)  Datu Ismawi Ismuni dan tetamu kehormat lain.