MIRI: Tabung Darah Hospital Miri mengajak orang awam menghadiri Hari Penderma Darah Sedunia 2024 pada 16 Jun ini di Aras 3, Boulevard Mall Miri.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi meraikan sambutan berkenaan yang juga sempena Ulang Tahun Ke-20 Hari Penderma Darah Zon Utara.
Program berkenaan akan bermula dari jam 10 pagi hingga 4 petang dan terbuka kepada semua penduduk di sekitar Miri.
Selain itu, orang awam boleh menderma darah seperti biasa dengan berkunjung ke bangunan Tabung Darah Hospital Miri dan tempat meletak kereta turut disediakan.
Tabung Darah Hospital Miri beroperasi Isnin hingga Khamis dalam dua sesi iaitu sesi pagi jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari serta sesi petang bermula jam 2 hingga 4.15 petang.
Pada Jumaat pula, sesi pagi bermula jam 8 hingga 11.15 pagi dan sesi petang jam 2.15 hingga 4.15 petang manakala tidak beroperasi pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Penderma tidak perlu membuat janji temu untuk datang menderma darah kerana pihak Tabung Bank Hospital Miri sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.
Menurut kenyataan itu, bekalan darah amat diperlukan bagi membantu keperluan pesakit malahan kehadiran penderma pada kempen-kempen derma darah sangat dihargai.
Tabung Darah Hospital Miri mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebelum menderma, mereka dinasihatkan membawa kad pengenalan, rehat atau tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya lima jam serta makan dan minum yang mencukupi.