News

 

Pusat Kebudayaan Lun Bawang di Lawas terima peruntukan RM300,000

Posted on 04 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

LAWAS: Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, sebanyak RM300,000 diperuntuk kerajaan untuk pembinaan  Pusat Kebudayaan Lun Bawang di Lawas.

Jelasnya, pihaknya akan menyokong usaha Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) bagi memulakan projek berkenaan.

“Untuk projek Pusat Kebudayaan Lun Bawang di Lawas, sebanyak RM300,000 diperuntuk bagi projek ini.

“Projek itu nanti akan dikenal pasti dan dimaklumkan kepada pihak atasan bagi pembinaan projek di bawah PLB Sarawak,” katanya pada perasmian Pesta Irau Aco Lun Bawang Edisi Ke-37 di Stadium Tertutup Lawas baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'Kelalan Baru Bian dan Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Dolphina Balang.

Jelas Henry Sum, etnik Lun Bawang perlu bekerjasama dengan kaum-kaum lain di sekeliling mereka untuk bergerak maju ke hadapan.

“Mereka tidak boleh mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat besar yang ada di sekeliling mereka dalam wilayah yang memiliki masyarakat majmuk paling ramai di negara ini,” katanya.

Ujarnya, masyarakat yang ada dari kawasan pergunungan Ba'Kelalan, tanah rata hingga ke pesisir di Lawas ini perlu bergerak maju, sekali gus mencapai satu hasrat bersama iaitu kemajuan dan keharmonian.

Pesta Lun Bawang atau Irau Aco Lun Bawang disambut awal Jun setiap tahun sebagai simbolik berakhirnya musim menuai padi.

Justeru pengisian pesta itu melibatkan persembahan acara kebudayaan, nyanyian, sukan dan makanan tradisi masyarakat yang dikongsi bersama orang ramai dalam satu jamuan besar.