News

 

JKKK perlu punyai hubungan rapat dengan agensi kerajaan: Harden

Posted on 31 May 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

SRI AMAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di peringkat rumah panjang atau kampung perlu mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, ini termasuk wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen di Kawasan masing-masing.

“Justeru, tuai rumah, ketua kampung dan pengerusi JKKK perlu memainkan peranan dalam perkara ini dengan mendekati agensi-agensi kerajaan.

“Mereka boleh memohon pembangunan untuk anak-anak buah di bawah jagaan masing-masing dan memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan kerajaan.

“Wakil rakyat boleh membantu menyalurkan peruntukan untuk pembangunan kepada setiap JKKK tetapi ia perlu dibahagikan sama rata kepada semua JKKK agar semua mereka dapat menikmati pembangunan kerajaan,” katanya.

Harden yang juga ADUN Simanggang berkata demikian pada Majlis Pra-Gawai Dayak dan Mangkong Tiang Perasmian Rumah Panjang Baharu anjuran JKKK Rumah Igai, Kampung Nyakai Atas dengan kerjasama Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Harden berkata Sarawak merupakan negeri contoh di Malaysia dari sudut perpaduan kaum.

“Sarawak telah dijadikan contoh terbaik oleh negeri-negeri lain dalam aspek perpadua. Ini dapat dilihat menerusi penganjuran perayaan utama yang semua kaum di Sarawak meraikannya secara bersama-sama.

“Seperti yang kita lihat hari ini, sambutan Hari Gawai yang diraikan oleh masyarakat Dayak. Kaum Melayu dan Cina berpeluang meraikannya secara bersama,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Balaen Suji, Ketua Wanita SUPP Simanggang Kapitan Ling Siew Hung, Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Empaga Bailey serta 22 ahli Wanita SUPP Simanggang.

Pada majlis itu, harden turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM5,000 dan RM3,000 masing-masing kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Igai untuk kegunaan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.