BINTULU: Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) komited membantu penduduk rumah panjang di Sarawak meningkatkan sosioekonomi mereka melalui program pelancongan, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, MOTAC sentiasa memikirkan mekanisme terbaik untuk membantu kumpulan sasar dengan membangunkan produk serta perkhidmatan pelancongan yang berupaya menarik perhatian lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara untuk datang ke rumah panjang.
"Pada masa sekarang, sektor inap desa dan produk kraf tangan tempatan termasuk kebudayaan menjadi antara tarikan utama yang harus diberikan perhatian," ujarnya dalam perutusan Hari Gawai Dayak 2024 hari ini.
Beliau berkata, sambutan Gawai telah tiba yang menyatukan semula semua ahli keluarga dan sahabat handai untuk bersama-sama meraikan hari istimewa itu dalam suasana penuh kesyukuran.
Menurut Tiong, walaupun beliau semakin jarang melawat rumah panjang sejak kebelakangan ini kerana komitmen terhadap hal ehwal kementerian, namun beliau sentiasa memikirkan bagaimana untuk memajukan masyarakat Dayak melalui inisiatif MOTAC yang dilihat boleh menyuntik kepada lebih banyak aktiviti yang akan membawa kepada momentum ekonomi yang lebih besar.
"Ia sekali gus akan membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk rumah panjang," ujarnya.
Oleh itu tegasnya, rakan-rakan Dayak tidak harus beranggapan bahawa beliau tidak memberi perhatian kepada isu-isu di kawasan selepas menjawat jawatan sebagai menteri persekutuan.
Sebaliknya, Tiong sebagai berkata selepas hal ehwal kementerian selesai atau berada di landasan yang betul, beliau memberi jaminan akan meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang bagi memahami dan mendekati rakyat di bawah jagaannya.
Pada masa ini jelasnya, kementerian sedang giat menggunakan beberapa siri langkah bagi mempromosikan daya tarikan untuk perayaan tradisi pelbagai etnik Sarawak kepada masyarakat antarabangsa bagi mencapai pasaran pelancongan peringkat antarabangsa yang lebih meluas.
"Ia merangkumi pelaksanaan program inap desa di kawasan rumah panjang dengan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk latihan kemahiran dan mempamerkan lebih banyak aset pelancongan dan kebudayaan unik yang ada di Sarawak bagi memberikan pengalaman terbaik kepada para pelancong," ujar Tiong.
Justeru, beliau menyeru semua rakyat di negeri ini khususnya komuniti Dayak supaya berganding bahu bagi menempa masa depan yang lebih cerah di Sarawak.
Program inap desa katanya, dilihat dapat membantu penduduk rumah panjang menjana lebih banyak sumber pendapatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Dayak.
"Saya menyeru semua rakan-rakan dalam komuniti supaya sentiasa memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik serta sambutan mesra kepada pelancong sekali gus membuatkan pelancong yang datang dari seluruh pelosok negara akan berasa seperti berada di negeri sendiri," tambahnya.