News

 

Swinburne Sarawak, Universiti Fudan lancar Forum Asian Cultural Heritage, meterai MoU kukuhkan perkongsian

Posted on 31 May 2024
Source of News: Utusan Borneo Online
KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak  dan Universiti Fudan China hari ini melancarkan Forum Asian Cultural Heritage 2024 yang akan berlangsung di sini dari 1 hingga 5 Oktober depan.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Dr Sim berkata forum tersebut berfungsi sebagai platform bagi belia dari seluruh Asia untuk berkongsi amalan terbaik dalam melindungi dan memanfaatkan warisan budaya, selain mempromosikan pembangunan mampan serta mengukuhkan pertukaran budaya.

"Kita berbesar hati kerana Sarawak telah dipilih untuk menjadi tuan rumah forum ini - warisan budaya bukan sahaja khazanah kepada negara, tetapi juga jiwa kepada sesebuah negara.

"Golongan belia juga amat penting, bukan sahaja untuk masa depan negara tetapi mereka juga memegang kunci kepada kelangsungan budaya. Justeru menerusi acara ini, ia akan membantu kita berkongsi apa yang dapat ditawarkan oleh Sarawak," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata acara seumpama itu penting kerana pengetahuan tentang budaya dan pemeliharaannya perlu dikongsi bagi memastikan kelangsungannya.

Dengan kepelbagaian warisan negeri, beliau berkata Sarawak berfungsi sebagai tempat yang baik untuk menganjurkan acara ini.

"Saya harap apabila Oktober tiba, ramai belia akan datang ke Sarawak supaya kita boleh belajar daripada mereka, dan kita boleh belajar tentang mereka juga," katanya.

Sementara itu, Naib Pro Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor Lau Hieng Ho berkata dengan mempromosikan pemuliharaan warisan budaya, ia bukan sahaja akan memelihara sejarah, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk menghargai dan melindungi identiti budaya mereka.

"Forum ini memberi peluang unik kepada golongan muda untuk belajar, berkongsi dan bekerjasama mengenai amalan mampan yang memberi manfaat kepada komuniti mereka dan dunia," tambahnya.

Sempena pelancaran itu juga, kedua-dua universiti menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menandakan komitmen mereka untuk memupuk kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui perkongsian itu.

Menandatangani MoU bagi pihak Swinburne Sarawak adalah Prof Lau, manakala Universiti Fudan diwakili oleh Prof Huang Yang, Dekan Jabatan Sejarah.

Swinburne Sarawak dalam satu kenyataan berkata, forum itu akan mengalu-alukan lebih 100 pelajar universiti dari 20 negara yang akan membentangkan kajian kes mengenai aplikasi pengetahuan tempatan dan tradisional dalam pemuliharaan dan penggunaan warisan budaya dalam persekitaran harian mereka.

Universiti itu menambah, peserta juga akan berpeluang untuk belajar daripada konservator pakar dan melibatkan diri dengan masyarakat tempatan melalui budaya dan lawatan alam semula jadi.

Forum itu disokong oleh Yayasan Warisan Budaya China dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Hii Chang Kee.