News

 

Teruskan usaha angkat martabat Sarawak: Abang Johari

Posted on 31 May 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap semua anak negeri ini terus berusaha gigih untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai kawasan yang maju dan makmur di mata dunia. 

Dalam perutusannya sempena Gawai Dayak 2024, Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bergantung kepada nasib, tetapi atas kerja keras berdasarkan kepada perancangan yang teliti dan berpandangan jauh. 

Malah katanya, kuasa yang diperolehi oleh kerajaan Sarawak daripada kerajaan persekutuan juga bukan bergantung kepada nasib, sebaliknya didasari oleh peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). 

"Sempena menyambut Gawai Dayak pada tahun ini, sekali lagi sebagai Premier yang menjaga kepentingan semua kaum, saya melahirkan harapan agar kaum Dayak menggunakan kesempatan ini untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Dayak itu sendiri. 

"Gunakan perpaduan itu untuk melakar masa hadapan kaum Dayak yang gemilang sama-sama dengan masyarakat lain di Bumi Kenyalang yang bertuah ini. 

"Sarawak berada pada landasan yang betul untuk menuju matlamat menjadi kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan pelbagai inisitaif yang dilaksanakan oleh kerajaan GPS. 

"Justeru, saya menyeru agar masyarakat Dayak merobohkan segala tembok dari segi kekangan pemikiran untuk menjadi kaum yang progresif dan dinamik di era yang penuh dengan cabaran, tetapi sarat dengan peluang ke arah kemajuan ini," katanya. 

Abang Johari turut berharap penganjuran aktiviti-aktiviti pra-Gawai yang menonjolkan ciri-ciri unik masyarakat Dayak terus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

Katanya, usaha-usaha para pemimpin Dayak terdahulu seperti mendiang Dato Sri Tra Zendher yang telah berjuang supaya Gawai Dayak diiktiraf oleh kerajaan, harus terus diperkasakan sebagai identiti dan kuasa penyatuan kaum Dayak di Bumi Kenyalang ini.
"Dari segi budaya, Gawai Dayak merupakan pesta selepas musim menuai padi mengikut tradisi kaum Dayak untuk meraikan hasil tuaian yang baik. 

"Amat wajar diraikan usaha yang telah membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi hasil tuaian di sawah atau padi huma, kerana maksud hasil tuaian itu pada era moden ini harus meliputi bidang-bidang lain termasuk kemajuan perniagaan atau pekerjaan. 

"Bagi pihak saya sendiri dan isteri serta keluarga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai 2024 kepada rakan-rakan dan anak Sarawak berketurunan Dayak di mana sahaja berada," katanya.